KUALA LUMPUR – Keharmonian antara agama di Malaysia harus dijaga dan sebarang keputusan berkaitan rumah ibadat perlu dibuat dengan penuh sensitiviti serta kebijaksanaan.
Presiden Kuil Sri Mangala Chamundi Bahau Negeri Sembilan, Datuk Seri S Surash membangkitkan persoalan sama ada pihak berkuasa akan menjual tanah yang sudah mempunyai rumah ibadat tanpa mempertimbangkan sensitiviti agama dan kepentingan komuniti setempat.
Tegasnya, isu ini bukan sekadar berkaitan agama, tetapi lebih kepada nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.
“Ini bukan soal agama semata-mata, tetapi soal hati dan nilai kemanusiaan. Sebagai rakyat, lebih-lebih lagi sebagai pemimpin, kita mempunyai tanggungjawab moral untuk memelihara keharmonian, bukan menimbulkan perpecahan,” katanya dalam kenyataan.
Surash meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan Masjid Madani di lokasi yang masih dalam pertikaian, Khamis ini tanpa menyelesaikan dahulu isu kuil yang telah lama wujud di kawasan tersebut.
“Keputusan seperti ini tidak hanya melibatkan soal hak milik atau undang-undang, tetapi juga menyentuh perasaan masyarakat yang telah beribadat di situ sejak sekian lama, janganlah abaikan sensitiviti kaum dan agama hanya demi kepentingan politik.
“Jangan kerana ingin meraih sokongan politik, kita sanggup mengetepikan sensitiviti agama lain. Malaysia dibina atas semangat perpaduan, bukan perpecahan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu ini secara adil dan bijaksana.
“Ini bukan masa untuk menuding jari kepada pemimpin lama atau baru. Ini adalah masa untuk kita bersatu dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Kita tidak mahu melihat politik baharu merobohkan rumah ibadat sedia ada hanya untuk membina yang baharu, seolah-olah mengabaikan sejarah dan komuniti yang terlibat,” tegasnya.
Beliau berharap keputusan yang diambil oleh kerajaan dalam isu ini akan menjadi cerminan kepimpinan yang berwibawa dan berjiwa rakyat.
“Saya merayu kepada Perdana Menteri, selesaikan isu ini dengan cepat, bijaksana, dan penuh empati. Keputusan hari ini akan mencerminkan wajah kepimpinan negara untuk generasi akan datang.
“Hentikan polemik. Mulakan penyelesaian. Kekalkan keharmonian,”ujarnya.-
Sebelum ini, Anwar sudah menasihatkan segelintir pihak agar tidak menjadi ‘jaguh’ dalam isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang terletak di atas tanah milik syarikat Jakel – MalaysiaGazette