KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak tanpa sebarang kompromi.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, skim kawalan harga yang berkuatkuasa dari 24 Mac hingga 7 April depan bertujuan memastikan harga barangan keperluan kekal berpatutan serta mewujudkan keseimbangan antara pengguna dan peniaga.
“Penentuan harga dalam skim ini dibuat selepas mengambil kira pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan berkaitan serta pemain industri.
“Perdana Menteri sendiri akan turun padang untuk meninjau pelaksanaan peraturan ini, termasuk memastikan tanda harga diletakkan dengan jelas dan pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan sepanjang musim perayaan,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Kata Tunku Nashrul, Anwar juga telah mengarahkan KPDN dan KPKM untuk mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan bagi menjamin bekalan barangan sentiasa mencukupi.
Jelasnya, pengguna juga digalakkan untuk membuat laporan kepada KPDN sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap skim kawalan harga ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan segera turun padang bagi membantu usaha pemulihan pasca banjir di kawasan yang terjejas, khususnya di Johor dan Sabah, menjelang Aidilfitri.
“Keadaan di Johor dan Sabah semakin pulih, namun ramai mangsa banjir masih berdepan kesukaran akibat kerosakan harta benda dan aset mereka.
“Oleh itu, Perdana Menteri menyeru semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta, untuk bersama membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka sebelum perayaan,” ujarnya. -MalaysiaGazette