PEKAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap isu hakisan pantai yang semakin kritikal di negeri ini.
Titah baginda, kejadian hakisan tersebut dikesan khususnya di kawasan padang api-api, di sepanjang jajaran jalan Pekan-Nenasi, di sini.
“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian saya sendiri ketika saya menaiki helikopter dalam perjalanan ke Rompin, saya ada ambil gambar… dianggarkan lebih kurang 300 ekar tanah telah terhakis akibat hakisan laut.
“Malah jalan utama kini berada terlalu hampir dengan garis pantai, tunggu masa sahaja,” titah baginda menerusi Facebook Kesultanan Pahang.
Malah titah baginda sekiranya tiada tindakan segera diambil, terdapat risiko besar jalan tersebut akan musnah ditelan laut dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Sultan Pahang bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum yang dimahsyurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, di sini semalam.
Sehubungan itu,baginda menyeru agar kerajaan dapat memberi perhatian serius dan bertindak segera terhadap perkara ini demi keselamatan dan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette