Dari kiri ke kanan: Bruce Owen, Presiden Equinix EMEA; Dato' Sri Dr. Chee Hong Leong, Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi; Wing K. Lee, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications di Barcelona baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – YTL Communications Sdn Bhd menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama penyedia infrastruktur digital global, Equinix Inc. dan Transcelestial, peneraju teknologi komunikasi laser.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications,  Wing K Lee berkata, kerjasama itu memperkukuh transformasi digital Malaysia dengan memperluaskan rangkaian AI serta meningkatkan keupayaan ketersambungan internet menerusi teknologi tanpa wayar berasaskan laser.

Katanya, langkah ini juga selaras dengan inisiatif nasional dalam mempercepatkan pembangunan AI dan ekonomi digital negara.

“Sebagai peneraju dalam teknologi 5G dan AI, kami komited untuk membawa inovasi yang dapat mempercepatkan transformasi digital Malaysia.

“Dengan sokongan Equinix, kami dapat menyediakan perniagaan dengan akses kepada teknologi AI bertaraf dunia tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis  menandatangani MoU berlangsung di Kongres Dunia Mudah Alih (Mobile World Congress) 2025 di Barcelona, Sepanyol yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Sri Dr Chee Hong Leong, baru-baru ini.

Kata kenyataan itu, melalui kerjasama dengan Equinix, YTL Communications akan membuka akses kepada YTL AI Cloud melalui rangkaian global Equinix.

Ini membolehkan perniagaan memperoleh GPU generasi terkini untuk pengkomputeran AI dengan kecekapan tinggi yang disokong oleh tenaga boleh diperbaharui 100 peratus menjadikannya selaras dengan agenda pembangunan lestari global.

Dalam pada itu, kata K Lee, dalam usaha meningkatkan kecekapan rangkaian internet, YTL Communications turut bekerjasama dengan Transcelestial untuk memperkenalkan teknologi komunikasi laser tanpa wayar di Malaysia.

“Teknologi ini membolehkan ketersambungan berkelajuan tinggi setanding fiber optik, tanpa keperluan kabel fizikal, sekali gus memudahkan penyebaran internet ke kawasan terpencil.

“Ini juga akan membantu menangani cabaran dalam penyediaan infrastruktur fiber tradisional dan memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada rangkaian internet berkualiti tinggi,” ujarnya.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Transcelestial, Rohit Jha pula berkata kerjasama ini merupakan langkah penting dalam membina masa depan dan ekonomi digital Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here