LOgo Tentera Darat

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan kematian seorang anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Prebet Muhammad Muqriz seri, 21, di Kem Sri Miri, Sarawak pada 24 Mac lalu.

Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Miri pada 25 Mac 2025 mendapati punca kematian adalah akibat trauma tumpul pada dada (Contusio Cordis) yang dipercayai berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan kerosakan pada jantung.

Siasatan awal yang dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang berkemungkinan menjadi punca kepada kematian prebet berkenaan.

Sehubungan itu, TDM telah menyerahkan kes ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Selain itu, satu Lembaga Siasatan dalaman turut ditubuhkan bagi mengenal pasti punca serta faktor yang menyumbang kepada insiden ini.

Jenazah Allahyarham telah diterbangkan ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor, pada jam 11.55 malam, semalam.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, menegaskan bahawa TDM memandang serius kejadian ini dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

Beliau berkata, TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terlibat dan didapati bersalah dalam insiden ini.

Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Panglima Tentera Darat turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menghadapi kehilangan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here