KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan Kerajaan Perpaduan membayar pampasan kepada pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Malah, beliau berkata, dakwaan yang dibuat penceramah bebas, Firdaus Wong di media sosial adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
“Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas. Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan.
“Malahan, tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Firdaus memuatnaik status mempersoalkan sama ada pihak Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman ada menerima RM2 juta sebagai pampasan.
Tulisnya: “Adakah benar pihak kuil bukan sahaja dapat tanah 4,000 sqt psecara percuma tetapi mereka juga menerima ‘pampasan’ RM2 juta?
“Kerajaan perlu telus dan dedahkan ‘deal’ sebenar,” katanya di Facebooknya.
Dalam pada itu, Zaliha turut berkata, k eputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang.
Katanya, pembinaan masjid yang telah tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang adalah paling utama.
Manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti.
“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi kes ini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang. Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut, yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak.
“Saya menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini. Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya lagi.
Semalam, Zaliha berkata, kerajaan akan memindahkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman kira-kira 50 meter dari tapak asal, dengan keluasan 4,000 kaki persegi iaitu setara dengan saiz kuil sedia ada.
Persetujuan tersebut dicapai hasil rundingan pelbagai pihak termasuk bersama pihak kuil.
Jelas beliau, tapak tersebut merupakan sebahagian daripada Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette