Tertuduh tidak mengaku salah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dan amang seksual terhadap anak perempuan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki etnik Rohignya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram serta amang seksual terhadap anak perempuannya, dua minggu lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun itu yang juga pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, buruh itu didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun di kediamannya di Pengkalan Machang, Sungai Dua di sini, pada 8 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya itu dengan cara memegang payudara di lokasi sama pada 12 Mac lalu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM22,000.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak membantah jaminan diberikan terhadap tertuduh atas faktor hubungan lelaki itu dengan mangsa selain kedua-dua pertuduhan adalah serius iaitu membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak.

“Selain itu, tertuduh juga bukan warganegara selain tinggal serumah dengan mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Rafael Abdullah memohon jaminan diberikan terhadap anak guamnya dan mereka akan patuh segala syarat tambahan diberikan mahkamah.

“Anak guam saya tidak akan pulang ke rumah atau tempat tinggal mangsa, dia akan tinggal bersama kakak saudaranya di Jalan Baru, Perai di sini. Selain itu, dua warga tempatan akan menjadi penjamin terhadapnya.

“Anak guam saya juga bersedia untuk lapor diri di balai polis terdekat setiap bulan serta berjanji tidak akan mengganggu mangsa atau isterinya sepanjang tempoh perbicaraan kes ini,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta dua penjamin tempatan.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta dilarang mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 9 Mei depan bagi serahan laporan perubatan mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here