Api marak dari gerai jual mercun yang terbakar di Jalan Dataran Cheras 6, Dataran Perniagaan Cheras, Selangor, pada Februari lalu.

SETIAP tahun perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali di Malaysia sering disambut dengan penggunaan mercun. Walaupun mercun memberikan kegembiraan kepada orang ramai, ia juga membawa risiko besar jika tidak digunakan dengan berhati-hati. Pada 17 Mac 2025 yang lalu, media tempatan ada melaporkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun hampir putus dua jari selepas dipercayai terkena letupan mercun bola yang tidak sempat dilempar semasa bermain di halaman rumah.

Manakala, pada 25 Mac 2025 sebanyak tiga buah rumah dilaporkan musnah dalam satu kebakaran di Kampung Kuala Bekah, Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang yang dikatakan berpunca daripada anak bermain bunga api di dalam salah satu sebuah rumah. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaporkan lebih 200 kes kecederaan akibat mercun dilaporkan setiap tahun, termasuk kehilangan jari dan kebutaan. Walaupun undang-undang seperti Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan hukuman berat, penguatkuasaan yang lemah menyebabkan mercun terus beredar di pasaran gelap.

Bahaya yang datang bersama mercun bukan sahaja berkaitan dengan keselamatan diri tetapi juga keselamatan kebakaran dan kesihatan. Oleh itu, masyarakat perlu sedar akan risiko yang boleh berlaku dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan perayaan tetap ceria tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bahaya keselamatan diri
Salah satu risiko utama yang dihadapi oleh pengguna mercun adalah kecederaan fizikal. Setiap tahun, kita sering mendengar laporan tentang kecederaan yang berlaku akibat mercun, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak. Antara kecederaan yang biasa termasuk luka bakar, kecederaan mata, jari dan tangan. Mercun yang tidak diurus dengan betul atau yang dicipta secara haram boleh meletup lebih awal daripada yang dijangka, menyebabkan kecederaan serius
kepada pengguna dan orang di sekitar.

Kebanyakan kecederaan berlaku apabila seseorang gagal mengikuti langkah-langkah keselamatan yang diperlukan, seperti tidak menggunakan perlindungan yang betul atau tidak menjaga jarak yang selamat ketika mercun dinyalakan. Dalam beberapa kes, kecederaan tersebut boleh menyebabkan kehilangan anggota badan atau, lebih tragis lagi, kematian. Kanak-kanak yang bermain mercun tanpa pengawasan orang dewasa lebih berisiko terkena kecederaan, menjadikan pengawasan orang dewasa sangat penting semasa musim perayaan.

Mercun yang dibeli dari sumber yang tidak sah atau tidak diketahui tidak dijamin keselamatannya dan boleh menyebabkan kecederaan atau kematian. Selain itu,
kebanyakan mercun haram atau buatan sendiri sering kali mempunyai risiko meletup lebih awal daripada yang dijangkakan, menambah bahaya kepada pengguna.

Bahaya kebakaran
Mercun juga adalah salah satu penyebab utama kebakaran semasa musim perayaan. Apabila mercun diletupkan atau dinyalakan, ia menghasilkan percikan api
yang boleh merebak ke kawasan sekitarnya, terutamanya di kawasan yang mudah terbakar. Kebakaran akibat mercun sering kali menyebabkan kerosakan harta benda
yang besar dan turut membahayakan nyawa.

Kebanyakan kebakaran yang berlaku disebabkan oleh mercun berlaku kerana mercun tersebut diletupkan di tempat yang tidak sesuai, seperti di kawasan berhampiran dengan rumah, kedai atau kawasan yang mempunyai bahan mudah terbakar. Tidak jarang juga kebakaran berlaku akibat mercun yang meletup dalam keadaan yang tidak terkawal, yang menyebarkan api ke kawasan sekitar. Oleh itu, penting untuk memilih tempat yang sesuai dan selamat untuk bermain mercun serta memastikan tiada bahan yang mudah terbakar berhampiran ketika mercun dinyalakan.

Bahaya kesihatan: Kesan asap dan bunyi
Selain kebakaran dan kecederaan, mercun juga memberi kesan negatif terhadap kesihatan, terutamanya akibat asap dan bunyi yang dihasilkan. Asap yang terhasil
daripada pembakaran mercun mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh mencetuskan masalah pernafasan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai penyakit asma atau gangguan pernafasan. Individu yang terdedah kepada asap mercun boleh mengalami serangan asma atau masalah pernafasan lain yang lebih
serius jika tidak mendapat rawatan segera.

Bunyi letupan mercun yang kuat juga boleh merosakkan pendengaran. Pendedahan berterusan kepada bunyi yang terlalu kuat, terutamanya bagi kanak-kanak dan
orang tua, boleh menyebabkan kehilangan pendengaran secara perlahan-lahan. Kesan jangka panjang daripada pendedahan berterusan kepada bunyi bising juga
boleh menjejaskan sistem saraf dan kesihatan mental individu.

Penguatkuasaan Undang-Undang
Walaupun kegembiraan bermain mercun dan menyaksikan letupan serta percikan api, ia turut membawa risiko keselamatan dan keracunan kepada pengguna. Di Malaysia, terdapat undang-undang yang mengawal penggunaan mercun bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Salah satu undang-undang yang relevan ialah Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207), yang menetapkan bahawa: ” Mana-mana individu yang didapati memiliki, menjual, membeli, atau bermain mercun atau bunga api selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207).” Sekiranya sabit kesalahan, hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara selama tujuh tahun, denda sebanyak RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, bermain dan membakar mercun atau bunga api juga dilarang dan boleh dihukum penjara tidak lebih dari satu bulan, atau denda sehingga RM100, atau
kedua-duanya seperti yang termaktub dalam Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955. Jika dibandingkan dengan negara luar, penguatkuasan bagi setiap negara adalah
berbeza yang mana penggunaan mercun diharamkan terus seperti di Brazil dan Indian. Manakala, negara seperti Australia, Kanada dan Jepun yang mengehadkan
pengendaliannya hanya kepada profesional berlesen sahaja. Negara Jerman dan United Kingdom yang hanya membenarkan penggunaan mercun dalam tempoh
tertentu sahaja seperti waktu perayaan.

Justeru itu, kawalan terhadap produk berbahaya seperti mercun ini perlu mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan pengguna. Langkah-langkah keselamatan seperti memastikan mercun yang digunakan disahkan selamat dan lulus ujian keselamatan, kanak-kanak dan remaja harus diawasi semasa bermain mercun oleh orang dewasa, mengelakkan bermain mercun di tempat yang mudah terbakar, seperti berdekatan dengan rumah, kedai, atau kawasan hutan.

Selain itu menyediakan pemadam api di dekat tempat bermain mercun, sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kebakaran. Namun begitu, langkah terbaik untuk mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini akibat bermain mercun pastinya dengan mengelakkan diri daripada memiliki atau bermain mercun.

Musim perayaan adalah waktu untuk merayakan kegembiraan bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun, kebahagiaan ini tidak seharusnya datang dengan risiko yang tinggi. Walaupun mercun merupakan tradisi yang menyemarakkan lagi suasana perayaan, kita tidak boleh mengambil enteng tentang aspek keselamatan dan kesihatan.

Kecederaan, kebakaran dan masalah kesihatan adalah bahaya yang nyata jika kita tidak berhati-hati dalam penggunaan mercun. Oleh itu, setiap individu harus bertanggungjawab terhadap keselamatan diri, keluarga dan masyarakat dengan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang sesuai. Dengan ini, kita dapat menikmati perayaan dengan kegembiraan dan tanpa risiko yang tidak diingini.

Oleh: Dr. Zuritah A.Kadir
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia,
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) &

 

Dr. Azuwien Aida Bohari
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrikal
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here