KUALA LUMPUR – Keputusan mahkamah yang membenarkan ‘Stay Interim’, bermaksud bangunan flat di Kampung Sungai Baru tidak akan dirobohkan buat sementara waktu sehingga permohonan penuh didengar disambut baik Pemuda Pas.
Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, pihaknya mengambil sikap untuk meneruskan solidariti bersama penduduk dalam bentuk persediaan untuk berhadapan dengan perbicaraan pada April ini.
“Masih terdapat tindakan yang menekan penduduk, termasuk perobohan penuh ke atas sebahagian bangunan disebabkan ketiadaan wakil yang mempertahankannya.
“Selain itu, kawasan perumahan ini dibiarkan dalam keadaan daif, dengan bekalan elektrik dan air telah dipotong serta seluruh kawasan dipagar sepenuhnya, meskipun perintah Eviction Order baru sahaja berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mahkamah Tinggi semalam membenarkan penangguhan sementara notis pengosongan premis membabitkan tiga penduduk di Kampung Sungai Baru.
Penolong Kanan Pendaftar, Ahmad Asyraf Mohamed Kamal memutuskan demikian selepas membenarkan pemohonan peguam bela, Azura Mokhtar yang mewakili penduduk terbabit.
Azura berkata, mahkamah memutuskan notis arahan pengosongan ditangguhkan sehingga satu rayuan yang difailkan oleh pihak penduduk dapat dilupus dan dibicarakan terlebih dahulu sebelum tindakan pengosongan premis dilakukan oleh pemaju.
Sementara itu, Nadzir berkata, pihaknya turut mendesak agar keutamaan diberikan kepada kebajikan dan hak penduduk yang terlibat.
“Kami menyeru agar semua pihak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman penduduk.
“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini serta memberikan sokongan kepada penduduk yang terkesan. Pemuda Pas Malaysia komited untuk memperjuangkan keadilan dan memastikan hak rakyat tidak dipinggirkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.
Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan. – MalaysiaGazette