SHAH ALAM – Tidak mahu mendabik dada, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berlapaang dada untuk berkongsi kepakaran dengan mana-mana syarikat baharu berkenaan pemeriksaan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, dengan pengalaman lebih 30 tahun, pihaknya membuka ruang untuk bertemu dengan syarikat-syarikat pemeriksaan kenderaan berkenaan pada masa hadapan.

“Kami sedia berbincang dengan mereka yang mana mungkin boleh menguntungkan semua pihak.

“Dengan adanya tiga syarikat itu nanti, ia secara tidak langsung memudahkan pelanggan memeriksa kenderaan mereka kerana paling penting adalah keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kepada kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengumumkan tiga syarikat baharu diluluskan melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM), selain Puspakom.

Bagi fasa pertama, tiga syarikat baharu yang mendapat kelulusan adalah Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd serta Beriman Gold Sdn Bhd.

Mahmood berkata, sebagai syarikat yang berpengalaman, pihaknya akan terus menambah baik kualiti sedia ada demi pelanggan-pelanggan.

“Puspakom sudah mendapat kepercayaan para pelanggan sejak sekian lama.

“Jadi, kami akan terus memastikan segala usaha kami akan memberi manfaat yang baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Puspakom di Glenmarie, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman menyampaikan sumbangan kepada warga emas Rumah Seri Kenangan Cheras, Kuala Lumpur.

Jelas Mahmood, Puspakom kini mempunyai 1.4 juta pelanggan setiap tahun yang datang melkukan pemeriksaan kenderaan di 53 cawangan seluruh negara.

Dalam pada itu, Mahmood mengakui dalam usaha untuk menangani setiap masalah yang dihidapi termasuklah isu integriti.

“Sejak hari pertama saya bersama-sama Puspakom, itulah azam saya untuk memastikan semua perkara-perkara ini dapat ditangani.

“Saya tidak pernah menafikan perkara itu dan dalam fasa untuk menghapuskan budaya-budaya yang tidak sihat ini,” jelasnya.

Terdahulu, Puspakom meraikan 20 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Cheras dan penjaga mereka serta rakan media dari pelbagai agensi.

“Kami memilih warga emas untuk diraikan sebagai simbolik untuk kita mengingati ibu bapa dan menghargai saat masih mempunyai insan tersayang,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here