Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim ketika menziarahi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang sedang menerima rawatan penyakit kanser di KPJ Ampang Puteri, Ampang Selangor, malam tadi.

AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dikejarkan ke hospital swasta, di sini, pada Sabtu lalu selepas tahap kesihatannya terjejas akibat kanser yang dihadapinya sejak tiga tahun lalu.

Jamal, 54, memberitahu, sel kanser yang menyerang bahagian paru-parunya pada 2022 bagaimanapun kini merebak ke bahagian otak menyebabkan beliau sukar untuk bercakap dan makan secara normal.

“Pada mulanya saya berasa amat sakit di seluruh bahagian leher dan kepala selepas bersin ketika memasak di rumah.

“Saya rasa pedih sangat dan rasa tak selesa hingga terpaksa pergi ke KPJ Ampang Puteri untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Selepas menjalani ujian pengimejan resonans magnet (MRI), doktor mendapati sel kanser yang sebelum ini di bahagian paru-paru kini merebak ke bahagian otak sebesar 3 sentimeter (cm),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, lewat malam tadi.

Pada 18 September 2022, MalaysiaGazette melaporkan Jamal yang ketika itu Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara mengejut selepas menghadiri program parti di Sungai Besar, Selangor.

Sebelum itu, Jamal beberapa kali dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan untuk kanser paru-paru tahap empat.

Isteri beliau, Datin Sri Nurhanizatul Shida Mat Hassan ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, suaminya mengalami kesukaran bertutur secara normal selepas tiga hari dimasukkan ke hospital.

“Bila suap makanan, tiba-tiba makanan itu keluar balik, dia tak boleh kunyah dan kawal mulut dia sendiri, seolah-olah kena simptom strok, mulut dia rasa kebas.

“Kalau bertutur pun saya sukar faham sebab dia bercakap tak berapa jelas. Tapi Alhamdulillah setelah masuk hari kelima, keadaan dia ada perubahan,” katanya.

MalaysiaGazette juga difahamkan Jamal akan mendapatkan rawatan susulan penyakit kanser di Hospital Beacon, Petaling Jaya, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here