KUALA LUMPUR – Jakel menjelaskan syarikat tekstil itu pada mulanya mempertimbangkan beberapa nama termasuk Masjid Jakel atau nama-nama para sahabat Rasulullah SAW sebagai penghormatan sempena masjid di Jalan Munshi Abdullah di sini.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersetuju ketika pertemuan sebelum itu dengan idea nama cadangan bersama adik-beradiknya itu.
Namun kata beliau, pihaknya sekeluarga telah mengadakan perbincangan dan akhirnya bersepakat memilih nama Masjid Madani.
“Ketika saya membentangkan cadangan ini kepada YAB Perdana Menteri, beliau bertanya adakah nama masjid ini telah diputuskan? Saya menjelaskan bahawa saya dan adik-beradik telah berbincang dan mempertimbangkan beberapa nama termasuk Masjid Jakel atau nama-nama para sahabat Rasulullah SAW sebagai penghormatan dan perdana menteri bersetuju dengan cadangan kami.
“Nama ini, antara lain kami anggap sebagai satu penghormatan kepada usaha kerajaan hari ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina masyarakat yang lebih adil, beradab dan menyantuni semua lapisan masyarakat.
“Lebih utama nama Madani dipilih kerana ia mewakili nilai-nilai Islam yang mendalam ihsan, hormat, keterangkuman dan perpaduan di mana masjid ini akan berdiri sebagai simbol kesejahteraan yang menyatu jiwa dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pada majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid Madani di tanah wakaf milik syarikat itu bersebelahan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abdullah di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Anwar yang turut dihadiri beberapa menteri Kabinet.

Mohamed Faroz menambah, tanpa keterbukaan, kesungguhan serta komitmen luar biasa yang ditunjukkan perdana menteri, Jakel mungkin tidak dapat melangkah sejauh ini.
Ujarnya adalah sangat bermakna apabila langkah pertama pembinaan masjid ini dapat dilaksanakan dalam bulan Ramadan,di bawah pentadbiran yang membawa semangat Madani ke tengah masyarakat.
“Kita tidak sekadar membina sebuah masjid tetapi kita membina sebuah institusi. Sebuah warisan dan sebuah mercu tanda yang akan terus hidup untuk generasi akan datang.
“Saya berkeyakinan, dengan terbinanya masjid ini, ia akan menjadi pusat ibadah, pendidikan, dan kegiatan sosial yang mengukuhkan perpaduan ummah dan menyemarakkan syiar Islam di kawasan ini,” katanya.

Mohamed Faroz turut bersyukur kerana Jakel melihat langkah pertama ke arah pembinaan rumah Allah namun juga sedar bahawa projek seperti ini tidak terhasil tanpa iltizam, kesabaran, dan kepimpinan yang konsisten.
“Bukan rahsia bahawa usaha ini telah melalui pelbagai cabaran. Namun hari ini, di bawah kepimpinan perdana menteri, kita melihat perubahan bukan sekadar janji, tetapi pelaksanaan. 11 tahun kami bersabar dan berunding, Alhamdulillah akhirnya.
“Dan untuk itu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar bukan kerana sokongan kepada kami, tetapi kerana sokongan kepada umat Islam di kawasan ini dengan terbinanya masjid ini, Datuk Seri akan dikenang sampai bila-bila kerana tanpa penglibatan beliau, kami tidak akan dapat mengadakan acara hari ini,” katanya.
Sementara itu, Masjid Madani direka oleh Kaizer Hud iaitu seorang arkitek anak jati Malaysia yang merupakan anak kepada Hud Bakar dari RSP Arkitek yang kini berkhidmat di London.
Masjid ini akan menampung 2,900 jemaah, mempunyai empat tingkat dengan reka bentuk moden yang mesra jemaah dan dilengkapi lif, eskalator, taman terbuka, dewan serbaguna dan ruang pejabat.
Masjid Madani ini akan menjadi pusat komuniti bagi masyarakat Islam sekitar serta menampilkan seni bina moden-Islamik yang terbuka dan inklusif. – MalaysiaGazette
