Calon Timbalan Ketua Wanita PKR, Napsiah Khamis.

KUALA LUMPUR – Mantan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis tampil menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat dalam pemilihan parti itu Mei depan.

Kata mantan Exco Wanita Pusat itu, dirinya tekad memperkukuh peranan sayap wanita dalam menghadapi cabaran politik semasa ketika ini.

Menurutnya, PKR dan Pakatan Harapan (PH) memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan kesinambungan kemenangan yang dicapai dalam kerajaan hari ini.

“Dinamika politik hari ini jauh berbeza daripada ketika parti ditubuhkan. Cabaran utama ialah memperkasakan Wanita Keadilan sebagai sayap penting parti dengan suntikan idea serta kerangka kerja baharu dan lebih dinamik,” katanya dalam kenyataan.

Napsiah yang juga pernah menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas menegaskan, peranan wanita amat penting bagi memastikan Keadilan dan Kerajaan Madani terus kekal relevan serta bersedia menghadapi PRU-16 dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya yakin mampu menyediakan Wanita Keadilan untuk menghadapi cabaran ini, mengisi kemenangan, dan memastikan Keadilan serta PH kekal unggul menjelang PRU,” ujarnya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan anggota wanita dalam parti selaras dengan perjuangan tokoh-tokoh terdahulu yang memperjuangkan hak wanita sejak Pengisytiharan Hari Wanita Persekutuan Tanah Melayu pada 26 Ogos 1962.

Dalam pada itu, Napsiah yang juga Pengasas Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Bidadari Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Wanita Progresif Johor berharap pemilihan kali ini berlangsung dalam semangat kekeluargaan serta penuh adab dan etika.

Sebelum ini, beberapa calon bagi jawatan ini sudah mengumumkan bakal bertanding Timbalan Ketua Wanita termasuklah Datin Faizah Ariffin dan penyandang sebelum ini, Juwairiya Zulkifli.

Pada pemilihan PKR lalu, Juwariya memenangi jawatan itu selepas mendapat 17,743 undi manakala Napsiah dan Faizah masing-masing mendapat 14,282 dan 11,071 undi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here