KUALA LUMPUR – Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Pameran Matta) yang akan berlangsung pertengahan April ini menyaksikan penyertaan Lembaga Pelancongan Sabah bersama lebih 40 agensi untuk mempromosikan pelbagai produk pelancongan di negeri tersebut.
Sabah Tourism dalam satu kenyataan berkata, Pavilion Sabah bakal menjadi tumpuan pengunjung pada pameran berkenaan dan pelbagai kejutan, program dan hadiah bakal ditawarkan melalui permainan yang dianjurkan seperti Watch & Win and Find Me! .
Kata agensi negeri itu, pelanggan bertuah juga bakal membawa pulang baucar rebat bernilai RM100 bagi setiap pembelian transaksi yang dibuat daripada mana-mana ejen pelancongan dan hotel Sabah.
“Pameran Matta ini juga akan mempamerkan jenama pakaian tempatan Chanteek Borneo dan minuman premium Uinah di Pavilion Sabah.
“Seperti negeri lain di dalam Malaysia, Sabah juga sedang giat membuat persiapan untuk menjayakan program Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pihaknya akan mempromosikan pelbagai destinasi popular termasuk yang tersembunyi daripada pandangan masyarakat selama ini,” katanya agensi itu.

Sabah Tourism berkata, negeri itu merupakan sebuah destinasi yang versatil yang mana ia bersesuaian untuk penggemar melakukan aktiviti gemar menyelam, meredah hutan, meneroka budaya atau pengembaraan dan ia bersesuaian untuk perjalanan solo, berbulan madu atau secara berkumpulan.
Bagi mereka yang merancang untuk melawat Negeri Di Bawah Bayu itu, Sabah Tourism telah mengkelaskan enam tempat yang wajib dilawati di Sabah untuk setiap jenis pengembara.
“Ada juga pelancong yang suka kepada suasana percutian romantik dan pastinya, Bigfin Beach Resort Kota Belud merupakan salah satu lokasi percutian yang ideal kerana ia menawarkan sebuah resort pantai yang menarik dan eksklusif yang terletak di atas bukit dengan pemandangan Teluk Mengakabar dan Pulau Pandan yang menakjubkan.
“Oleh kerana resort ini hanya mampu menampung maksimum 21 orang sahaja dalam satu masa sekali gus pasangan pengembara dapat menikmati percutian mereka di tepi pantai secara peribadi,” katanya.
Tourism Sabah menambah, selain itu, bagi penggemar aktiviti pengembaraan dan sukan lasak, negeri itu juga terkenal dengan penganjuran pertandingan larian denai dan acara tahunan seperti Jejak Ultra TMBT dan Ultra Kadamaian bakal berlangsung tidak lama lagi pada bulan Julai dan Ogos ini di bawah gabungan siri Asia Trail Master.
Kebiasaannya, ramai peserta yang berlumba akan mengambil kesempatan untuk berehat selepas perlumbaan dengan aktiviti berkhemah, mandi sungai dan menyertai program homestay selain berakit di Sungai Padas, luncur layar di Bukit Kokol, berbasikal di Lahad Datu, atau mengharungi ngarai Sungai Taralamas.

“Pelancong yang suka menyelami budaya masyarakat tempatan, boleh menyertai lawatan homestay yang selalunya dikendalikan oleh penduduk tempatan di kawasan luar bandar sebagai inisiatif pelancongan berasaskan komuniti (CBT).
“Terdapat lebih 30 persatuan pelancongan daerah Sabah yang aktif dalam menawarkan produk CBT seperti inap desa, sebagai contoh, Homestay Sunsuron di Tambunan menawarkan pengalaman tempatan asli yang dipilih oleh tuan rumah Kadazan dusun sendiri.
“Aktiviti lain termasuklah lawatan ke Pusat Maklumat Rafflesia, lawatan perkampungan, penanaman padi, mendaki ke Bukit Kolindasan dan kelas membuat tapai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sabah Tourism memberitahu, pelancong yang mementingkan suasana santai seperti layanan orang kenamaan, Gaya Island Resort di Kota Kinabalu merupakan tempat yang paling sesuai untuk dikunjungi.
Perjalanan bot yang singkat dari terminal Jesselton Point akan membawa anda terus ke resort pantai tropika yang zen di sudut Taman Marin Tunku Abdul Rahman.
“Terdapat juga aktiviti menarik yang boleh dilakukan, seperti berkayak bakau, yoga dan juga perkelahan pantai.
“Setiap vila di resort ini direka khas dengan keanggunan kontemporari yang luas untuk memberi pengenalan budaya di Sabah, setiap kakitangan Gaya Island Resort juga berdedikasi untuk menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang terbaik mengikut keperluan setiap tetamu,” ujarnya. – MalaysiaGazette