Kredit: www.sapuraenergy.com

KUALA LUMPUR- Sapura Energy Bhd kembali mencatatkan keuntungan dengan keuntungan bersih sebanyak RM189.53 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2025 (TK2025), berbanding kerugian bersih RM508.66 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pendapatan meningkat sebanyak 8.9 peratus kepada RM4.70 bilion daripada RM4.32 bilion sebelum ini, didorong oleh segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) hasil permulaan projek baharu.

Tambah syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu lagi, pendapatan bagi segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) meningkat berikutan kemajuan lebih tinggi projek sedia ada dan pelaksanaan projek baharu.

“Bagaimanapun, ini diimbangi oleh segmen penggerudian disebabkan pengurangan hari penggunaan pelantar,” kata Sapura Energy.

Syarikat itu berkata segmen E&C mencatatkan pendapatan sebanyak RM3,006.6 juta, meningkat 11.0 peratus berbanding RM2,708.8 juta pada tahun sebelumnya.

Segmen O&M pula mencatatkan pendapatan RM680.0 juta, iaitu RM99.7 juta atau 17.2 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, pendapatan segmen penggerudian bagi tahun semasa adalah RM1.14 bilion, berkurangan 7.3 peratus berbanding RM1.23 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Jan 2025, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM405.68 juta, berbanding kerugian bersih RM728.44 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatan meningkat kepada RM1.19 bilion daripada RM1.12 bilion sebelum ini.

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkata ia berada dalam kedudukan kukuh untuk mengekalkan momentum pemulihannya dengan mengambil kira buku pesanan kumpulan berjumlah RM8.5 bilion, yang merupakan tahap tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Berikutan perintah mahkamah yang meluluskan Skim Pengaturan Komposit Sapura Energy, kumpulan itu kini dalam peringkat akhir memuktamadkan Pelan Penyusunan Semulanya, yang akan membolehkan kumpulan itu akhirnya keluar daripada status Practice Note 17 (PN17). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here