GEORGE TOWN – Pulau Pinang merekodkan peningkatan mendadak kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) tahun ini, dengan lonjakan sebanyak 409% dari 1 Januari hingga 22 Mac berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, sebanyak 3,446 kes telah dilaporkan setakat ini berbanding 677 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Penyakit ini menyebabkan lepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah terutama dalam kalangan kanak-kanak kecil dan ia boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, otak dan jantung akibat enterovirus 71, jika serius.

“Setakat ini, Pulau Pinang tiada kes kematian atau kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), namun pihak kesihatan tetap berwaspada terhadap kemungkinan penularan lebih meluas di kawasan sesak seperti pusat jagaan kanak-kanak dan tempat awam,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut Daniel Gooi berkata, sebanyak 112 kluster HFMD telah dikenal pasti melibatkan premis pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika, tabika dan prasekolah, dengan 26 kluster daripadanya masih aktif.
Mengikut pecahan Seberang Perai Tengah mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 1,082 kes, diikuti Seberang Perai Selatan (700 kes), Daerah Timur Laut (628 kes), Seberang Perai Utara (416 kes) dan Daerah Barat Daya (620 kes).
Bagi pecahan lokasi pula, secara keseluruhan berlaku di tadika (39), sekolah rendah (30), taska (24), prasekolah (8), tabika (10) dan pusat jagaan (1).
“Justeru, ibu bapa dinasihatkan agar tidak menghantar anak yang dijangkiti ke pusat jagaan atau sekolah bagi mengelakkan risiko penyebaran lebih meluas. Sekiranya terdapat gejala jangkitan, segera laporkan kepada pihak berkuasa kesihatan bagi membendung wabak ini dengan lebih berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette