JOHOR BAHRU – Sejumlah 639 tan metrik sisa pasca banjir sudah dikutip di seluruh negeri ini sehingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, fokus utama kutipan adalah di kawasan yang paling teruk terjejas banjir iaitu Pontian, Batu Pahat, Kluang dan daerah ini.
“Bagi memastikan pengurusan sisa lebih lancar, beberapa Pusat Transit Sisa Pasca Banjir diwujudkan di beberapa lokasi strategik seperti di Jalan Taruka di sini, sebelum dihantar ke tapak pelupusan utama.
“Pusat transit ini dapat mempercepatkan pengurusan pembuangan dan mengurangkan kesesakan di kawasan terjejas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, sebanyak 52 unit kenderaan berat termasuk jentera pengangkut, lori kompaktor, jentera pembersihan dan kenderaan utiliti digunakan bagi mempercepatkan proses pembersihan.
Operasi pembersihan itu katanya, membabitkan lebih 1,000 anggota daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), SWCorp, SWM Environment, Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, RELA dan juga sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, Mohd Jafni mempengerusikan mesyuarat Ops Pasca Banjir pagi tadi bagi memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan yang terjejas dapat dipulihkan segera seperti diarahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Operasi pasca banjir itu turut dilaksanakan sebagai menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, katanya.
“Alhamdulillah, operasi pasca banjir di seluruh negeri ini kini mencapai 80 peratus kemajuan setakat semalam.
“Dengan izin Allah, dalam tempoh dua hari lagi sebelum Hari Raya, semua lokasi yang terjejas akan dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Menurut beliau, kerja pembersihan turut dilaksanakan di kawasan yang di luar kawasan perbandaran rasmi seperti kawasan setinggan, terutamanya kawasan yang terjejas teruk.
Katanya, ini dilaksanakan menerusi kolaborasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh agensi dan syarikat swasta.
Kerajaan negeri ujarnya, menghargai peranan agensi negeri dan persekutuan, NGO, pemaju perumahan dan syarikat korporat melalui program CSR yang sudah menghulurkan bantuan dari segi tenaga kerja, jentera serta sumbangan barangan keperluan untuk mangsa banjir.
“Antara syarikat yang terbabit adalah Southern Volunteers, SWM Environment Sdn Bhd, Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd, Daily Fresh Foods Sdn Bhd, Pertubuhan IHSAN Johor, Shiya Development dan Mercy Malaysia.
“Usaha ini jelas menunjukkan komitmen semua pihak dalam memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada perhatian kerajaan.
“Terima kasih juga kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) kerana menggunakan semua jentera terutamanya pam air berkuasa tinggi untuk membantu air surut dengan lebih cepat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan ‘task force’ bagi menilai semula aspek pembangunan terutama di kawasan setinggan dan sepanjang Sungai Skudai serta Sungai Tebrau.
“Ini kerana lebih 50 peratus daripada mangsa banjir kali ini adalah penduduk dari kawasan terbabit.
“Task force ini akan mengkaji semula aspek perancangan bandar, sistem perparitan dan saliran serta mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko bencana banjir di masa hadapan.
“Kerajaan negeri juga akan memastikan perancangan pembangunan perumahan akan mengambil kira faktor kawasan rendah dan risiko banjir supaya kejadian sebegini tidak berulang,” jelasnya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Kerja-kerja pembersihan banjir dilakukan pihak SWCorp di kawasan Johor Bahru yang terjejas teruk akibat banjir khususnya di empat daerah