KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Klang hari ini menjatuhi hukum penjara enam tahun 10 bulan serta denda RM22,000 terhadap seorang ahli perniagaan yang didapati menghina, mencederakan dan mengugut pengawal peribadi kerana berpuasa pada tahun 2021.
Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan tertuduh, Chung Chee Yang menjalani hukuman penjara tambahan selama 21 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Siti Zuraidah juga menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.
“Bagi kes mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Chee Yang dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000, pertuduhan mengeluarkan perkataan melukakan agama Islam di bawah Seksyen 298 kanun yang sama, tertuduh dihukum penjara setahun dan denda RM10,000.
Selain itu, untuk tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengawal peribadi mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000.
“Semua hukuman pemenjaraan berjalan secara berasingan,” katanya hari ini.
Pada 22 April 2021, Chee Yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertama, menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli iaitu ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah menggunakan pistol.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan di luar halaman rumah, di Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini, antara jam 10.30 hingga 11.30 malam, pada 13 April 2021.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabit kesalahan.
Selain itu tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan seperti puasa dan ALLAH yang mana ia boleh didengar oleh Ahmad Shamsuri, dengan niat melukakan perasaan keagamaan orang tersebut. -MalaysiaGazette