BUY NOW PAY LATER (BNPL) merupakan kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna membeli barangan atau perkhidmatan terlebih dahulu dan membayar kemudian secara ansuran tanpa faedah.
Di Malaysia, BNPL semakin popular sebagai pilihan pembayaran alternatif, terutamanya dalam kalangan generasi muda dan pembeli dalam talian.
Tujuan utama Buy Now Pay Later (BNPL) adalah untuk menyediakan pinjaman jangka pendek kepada pengguna yang tidak mempunyai kad kredit, atau mempunyai had kredit yang rendah.
Peniaga dan pengeluar kad kredit juga menawarkan pembeli membahagikan pembelian kepada ansuran selepas pembelian dibuat.
BPNL merupakan platfrom pembayaran digital yang menawarkan pembayaran secara ansuran kepada pengguna.
Menerusi platform ini, pengguna boleh memiliki barangan idaman tanpa perlu melakukan pembayaran penuh terlebih dahulu dan pembayaran dibuat secara ansuran.
Ini bermakna, pengguna hanya perlu membayar bayaran pendahuluan manakala baki yang selebihnya boleh dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan oleh platform tersebut.
Statistik Pengguna BNPL di Malaysia
Pengguna di Malaysia kini berisiko terjerumus ke dalam kancah hutang isi rumah yang lebih tinggi akibat kecenderungan menggunakan kemudahan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL).
Walaupun BNPL pada asasnya adalah penyelesaian kewangan alternatif yang praktikal, namun kebimbangan timbul apabila ramai yang menggunakan skim ini untuk membeli barangan yang tidak penting atau tidak diperlukan.
Pendedahan mengenai peningkatan mendadak jumlah transaksi skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) yang mencatatkan RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024 adalah sesuatu yang mengejutkan.
Lebih mengejutkan apabila golongan paling aktif menggunakan BNPL terdiri daripada individu berusia antara 21 hingga 45 tahun, dengan pendapatan bulanan kurang RM5,000.
Pada 11 Mac lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melaporkan jumlah transaksi skim pengguna BNPL meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas, serta 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.
Tambahan beliau, kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat juga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.
Berdasarkan persidangan yang dijalankan dalam talian bertajuk ‘The Rise Of BNPL In The Consumer Credit System’ anjuran Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang dianjurkan secara maya bersama Timbalan Ketua Pasukan Petugas Khas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), Azryta Abdul Aziz; Profesor Kehormat Universiti Malaya, Prof Mohd Naziri Ismail dan Ketua ShopeePay & SeaMoney Malaysia, Alain Yee,mendapati trend BNPL berkait rapat dengan data yang menunjukkan isi rumah kategori berpendapatan 60% terendah atau (B60) telah membeli lebih banyak barang keperluan dengan terdapat perubahan ketara pada taraf hidup di golongan dalam kategori itu.
Sepanjang sedekad yang lalu, isi rumah berpendapatan 10% terbawah juga mengalami peningkatan taraf hidup sebanyak dua kali iaitu antara 2009 dan 2014 serta antara 2016 dan 2019.
Kebanyakannya adalah dalam pembelian untuk barangan makanan, pakaian dan perkakas rumah.
Dalam persekitaran dinamik sistem kredit pengguna, BNPL telah muncul sebagai kaedah pembayaran yang inovatif. Skim yang berasal dari negara barat itu kini telah merebak dengan pantas ke pasaran baru muncul termasuk Malaysia kerana ia pengaturan kredit yang membolehkan pengguna membeli barangan dan perkhidmatan serta-merta serta menangguhkan pembayaran melalui ansuran berjadual.
Tidak seperti kad kredit dan pinjaman tradisional, BNPL selalunya tidak memerlukan semakan kredit yang mendalam. Daya tarikan model BNPL terletak pada kesederhanaan, kebolehcapaian dan fleksibiliti, menarik kepada spektrum pengguna yang luas terutamanya mereka yang tergolong dalam kohort milenium dan generasi Z (Gen Z).
Dengan mentakrifkan semula kredit, BNPL mencabar kebijaksanaan dan percubaan konvensional untuk membuka lembaran baharu. Ia bukan sekadar produk kewangan tetapi adalah fenomena budaya, ekonomi dan teknologi.
BNPL telah membentuk semula kebolehcapaian kredit, dinamik runcit dan peraturan kewangan yang membawa kepada nuansa kesan kepada ekonomi Malaysia yang lebih meluas.BNPL juga telah menimbulkan kebimbangan mengenai amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab dan potensi risiko yang berkaitan dengan penyambungan kredit yang berlebihan kepada pengguna yang kurang celik kewangan.
Pada tahap hidup makroekonomi, ia boleh membawa kepada peningkatan hutang isi rumah yang menimbulkan risiko sistemik kepada sistem kewangan.
Memandangkan pengguna boleh memilih untuk berbelanja lebih lagi melalui BNPL, mereka mungkin akan kurang dalam berjimat. Kecenderungan untuk memberi keutamaan kepada penggunaan segera berbanding simpanan masa hadapan boleh mengurangkan kadar simpanan keseluruhan bagi ekonomi.
Pengaruh BNPL terhadap kadar simpanan, tahap hutang dan kesihatan kewangan pengguna berkemungkinan mempunyai kesan jangka masa panjang. Pertumbuhan BNPL boleh mempengaruhi dinamik kredit pengguna dan impak mekanisme penghantaran dasar monetari.
Walaupun ramai pengguna mengakui BNPL boleh menjadi alat kewangan yang sangat membantu, mereka turut memberi amaran skim itu berpotensi bertukar menjadi perangkap hutang tersembunyi jika tidak diuruskan dengan cermat.
Secara umumnya, pengguna perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan beban hutang yang tinggi dan menghentikan sebarang perbelanjaan tidak perlu.
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin menggesa agar skim BNPL dikawal selia bagi melindungi pengguna daripada sebarang penipuan atau caj berlebihan.
Beliau berkata FOMCA mencadangkan agar penyedia perkhidmatan BNPL menilai kemampuan kewangan pengguna sebelum meluluskan transaksi serta memastikan ketelusan dalam terma dan syarat, terutamanya mengenai caj dan penalti.Beliau berkata dengan perancangan dan disiplin kewangan yang baik, BNPL boleh menjadi kaedah yang berguna, tetapi jika disalahgunakan ia berisiko menjerat pengguna dalam beban hutang yang tinggi.
“Apa yang penting, penggunaan BNPL hanya untuk membeli barang keperluan, dan bukan memenuhi kehendak semata-mata,” katanya.
Kelebihan BNPL
Antara kelebihan pembayaran ini adalah seperti berikut:
- Kadar Faedah yang Dikenakan adalah 0%
Kebanyakan platform yang menawarkan pembayaran ini menawarkan kadar faedah sebanyak 0 peratus. Ini bermakna, pengguna tidak akan dikenakan sebarang faedah atau caj tambahan sekiranya membuat pembayaran. Namun, pengguna tertakluk kepada caj tertentu sekiranya terlewat membuat pembayaran.
- Kelulusan Tanpa Berpandukan Skor Kredit
Walaupun pengguna tidak mempunyai skor kredit yang baik, mereka masih ditawarkan untuk pembayaran ini. Ianya sedikit berbeza dengan membuat pinjaman atau memohon kad kredit yang memerlukan anda memiliki skor kredit yang baik.
- Pembahagian Bayaran kepada Beberapa Bulan
Pembahagian pembayaran secara ansuran dapat mengelakkan pengguna berbelanja melebihi bajet mereka. Ini boleh membantu mengelakkan mereka daripada menggunakan simpanan kecemasan dan membolehkan anda memperuntukkan simpanan ini untuk perkara penting lain.
- Bayar secara automatik.
Tidak memerlukan deposit tunai di ATM atau log masuk perbankan dalam talian nda setiap bulan untuk membuat pembayaran ansuran. Sebaliknya, pembayaran ansuran bulanan anda akan ditolak melalui kaedah yang anda gunakan semasa anda membuat pembayaran buat kali yang pertama.
Apakah keburukan BNPL?
- Risiko terjerumus ke dalam hutang
Buy Now Pay Later (BNPL) boleh mendorong pengguna berbelanja melebihi kemampuan mereka. Kemudahan untuk membayar secara ansuran tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak pada permulaan boleh menyebabkan pengguna terleka dengan jumlah yang perlu dibayar pada masa hadapan.
Jika tidak berhati-hati dalam merancang kewangan dan berbelanja mengikut kemampuan, seseorang boleh mudah terperangkap dalam hutang yang sukar dibayar. Ini boleh menyebabkan tekanan kewangan dan emosi yang berpanjangan.
- Kesan negatif terhadap skor kredit
Sekiranya pengguna kerap terlepas atau lewat membayar ansuran BNPL, ia boleh memberi kesan buruk kepada skor kredit mereka. Skor kredit yang rendah boleh menyukarkan pengguna untuk mendapatkan pinjaman atau kredit pada masa hadapan, seperti pinjaman perumahan atau pinjaman kenderaan.
Ia juga boleh menyebabkan pengguna dikenakan kadar faedah yang lebih tinggi apabila memohon pinjaman atau kad kredit baru. Oleh itu, pengguna perlu memastikan mereka sentiasa membayar ansuran BNPL tepat pada masanya untuk mengelakkan kesan negatif terhadap skor kredit mereka.
- Galakan pembelian secara impulsif
BNPL boleh menggalakkan tabiat berbelanja secara impulsif kerana ia memberikan ilusi kemampuan untuk berbelanja. Apabila pengguna melihat pilihan untuk membayar secara ansuran, mereka mungkin terdorong untuk membeli barangan yang tidak diperlukan atau melebihi bajet mereka.
Ini boleh menyebabkan pengguna berbelanja secara berlebihan dan akhirnya menghadapi masalah kewangan. Pengguna perlu berhati-hati dan sentiasa memikirkan keperluan sebenar mereka sebelum membuat sebarang pembelian menggunakan BNPL.
- Terma dan syarat yang tidak jelas
Sesetengah pembekal BNPL mungkin mempunyai terma dan syarat yang tidak jelas atau mengelirukan. Pengguna perlu membaca dan memahami sepenuhnya kontrak sebelum bersetuju dengan pelan BNPL.
Mereka perlu memastikan mereka sedar tentang sebarang yuran tambahan, kadar faedah, dan penalti yang mungkin dikenakan. Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau ketidakpastian, pengguna perlu mendapatkan penjelasan daripada pembekal BNPL sebelum bersetuju dengan pelan tersebut.
- Yuran tersembunyi
Sesetengah pembekal BNPL mengenakan yuran tambahan seperti yuran perkhidmatan atau yuran keahlian, yang mungkin tidak dinyatakan dengan jelas pada awalnya. Yuran ini boleh menambah kepada kos keseluruhan pembelian dan menyebabkan pengguna membayar lebih daripada yang dijangkakan. Pengguna perlu memastikan mereka memahami sepenuhnya semua yuran yang terlibat sebelum bersetuju dengan pelan BNPL dan membandingkan tawaran daripada pelbagai pembekal untuk mencari pilihan yang paling sesuai dengan keperluan dan bajet mereka.
- Kurang perlindungan pengguna
Tidak seperti kad kredit, BNPL mungkin tidak mempunyai perlindungan pengguna yang sama, seperti perlindungan terhadap penipuan atau barangan yang tidak diterima. Sekiranya terdapat sebarang pertikaian dengan peniaga atau masalah dengan barangan yang dibeli, pengguna mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembelaan atau pembayaran balik.
Pengguna perlu memahami tahap perlindungan yang ditawarkan oleh pembekal BNPL dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti berurusan dengan peniaga yang dipercayai dan menyemak dasar pemulangan dan waranti sebelum membuat pembelian.
Walaupun BNPL menawarkan kemudahan dan fleksibiliti dalam pembayaran, pengguna perlu menilai keadaan kewangan mereka dengan teliti dan mempertimbangkan kemampuan mereka untuk membayar balik ansuran sebelum menggunakan perkhidmatan BNPL.
Tips Sebelum Menggunakan Buy Now, Pay Later
- Jangan terlalu “overextend” kewangan anda
Pastikan anda mempunyai pemahaman yang baik tentang kewangan anda dan melihat sama ada ia sesuai dengan bajet atau belanjawan. Hanya kerana anda layak untuk menggunakan mana-mana platform BNPL, jangan terburu-buru untuk setuju.
- Fahami laporan kredit
Setiap pembayaran hutang dan kredit anda akan dilaporkankepada syarikat yang menguruskan skor kredit. Oleh itu, cara pembayaran balik kad kredit dan pinjaman anda akan direkod untuk mengesahkan tabiat penjagaan kredit. Jika anda melakukan pembayaran lewat dan syarikat BNPL melaporkannya, ia boleh membahayakan sejarah kredit anda. Terdapat 2 jenis laporan kredit yang akan kena tahu, iaitu CTOS & CCRIS.
Baca artikel Apa Itu CCRIS dan CTOS danCara Membaca Laporan Kredit CCRIS untuk penjelasan lanjut.
- Buat pembayaran awal
Anda mungkin akan disekat daripada pembelian akan datang sehingga anda selesai membuat pembayaran, malah kemungkinan untuk pemungut hutang memintanya daripada anda sekiranya gagal membayar balik. Memandangkan pemberi pinjaman mempunyai yuran dan polisi berbeza-beza, adalah penting untuk menyemak dengan teliti terma dan syarat BNPL sebelum terjerat kelak. Selain itu, bank mungkin akan mengenakan yuran lewat sekiranya anda mendaftar pembayaran balik automatik melalui kad debit atau akaun bank yang tidak mempunyai dana mencukupi.
- Kurang perlindungan
Pinjaman BNPL pada masa ini tidak mempunyai perlindungan pengguna seperti yang digunakan untuk kad kredit. Contohnya, syarikat BNPL tidak menawarkan perlindungan pertikaian yang sama seperti kad kredit jika item dibeli rosak atau ditipu. Memulangkan barang kadangkala boleh menjadi rumit. Platform BNPL mungkin tidak bertanggungjawab ke atas jumlah kos pembelian walaupun selepas anda memulangkan produk, jadi pastikan anda membaca dan memahami dasar yang ditetapkan.
Kawalan oleh pihak kerajaan terhadap BNPL?
Perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL), menjadikan landskap kewangan menjadi lebih kompleks.
Generasi kini hidup dari satu gaji ke gaji berikutnya, dengan hampir separuh daripada mereka mengalami ketidakstabilan kewangan dan ia menjadi sebagai tekanan utama kepada golongan ini. Penggunaan BNPL yang semakin meningkat menunjukkan tekanan untuk mengekalkan gaya hidup didahulukan walaupun dengan sumber kewangan yang terhad.
Komitmen Belanjawan 2025 untuk mengawal selia BNPL di bawah Akta Kredit Pengguna adalah penting. Ia adalah langkah positif untuk melindungi pengguna muda daripada terjebak dalam kitaran hutang. Walau bagaimanapun, memasukkan BNPL dalam pengiraan hutang isi rumah amat disarankan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI). Pada masa ini, BNPL tidak sepenuhnya diambil kira dalam memahami kesihatan kewangan isi rumah, yang bermakna kita mungkin meremehkan tekanan kewangan yang dialami oleh ramai belia Malaysia. Tanpa literasi kewangan yang mencukupi, ia boleh menyebabkan beban hutang yang ketara. Pengawalseliaan yang lebih baik dan pemantauan yang lebih jelas akan memastikan belia dilindungi dengan lebih baik dalam jangka panjang.
Buy Now, Pay Later (BNPL) yang selama ini menjadi pilihan ramai untuk berbelanja secara ansuran tanpa tapisan kredit akan mengalami perubahan besar dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) yang dijangka bermula hujung tahun ini. Di bawah akta baharu ini, pengguna tidak lagi boleh menggunakan BNPL tanpa kawalan kerana semua transaksi perlu melalui proses penilaian kredit terlebih dahulu. Ini bermakna mereka yang tidak memenuhi syarat kelayakan mungkin tidak dapat menikmati kemudahan ini seperti sebelum ini.
Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), Abu Hassan Alshari Yahaya, menjelaskan bahawa langkah ini penting untuk mengelakkan pengguna daripada berhutang melebihi kemampuan mereka sehingga terjerat dalam masalah kewangan yang tidak terkawal.
“Semua pengendali BNPL akan diwajibkan berkongsi maklumat kredit pengguna dengan agensi pelaporan untuk menilai kelayakan mereka sebelum sebarang transaksi diluluskan,” katanya dalam sidang media di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), pada Jumaat.
Langkah ini berbeza daripada sistem BNPL sedia ada, yang membolehkan hampir sesiapa sahaja menggunakan perkhidmatan ini tanpa pemeriksaan kredit yang ketat.
Sebelum ini, perkhidmatan BNPL beroperasi tanpa pemantauan yang jelas, tidak seperti kad kredit yang tertakluk kepada undang-undang kewangan yang ketat. Namun, dengan pembentangan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk mengawal selia BNPL dan syarikat kredit lain yang sebelum ini tidak berada di bawah mana-mana badan pemantauan rasmi.
SKP akan bertanggungjawab terhadap:
- Pemberi kredit yang tidak dikawal selia sebelum ini (BNPL, syarikat pemfaktoran, syarikat pajakan, dll.)
- Agensi pengutip hutang dan kaunseling kewangan
- Pindaan Akta Sewa Beli 1967 bagi memastikan peraturan lebih adil kepada pengguna
Langkah ini akan dilakukan secara berfasa, di mana kawal selia kredit pengguna di bawah KPDN dan KPKT akan dipindahkan kepada SKP dalam fasa kedua
Kesimpulan
Secara kesimpulannya terdapat pelbagai sisi perlu dilihat didalam isu BNPL ini, di sebalik kemudahan kredit yang diberikan, terdapat sisi lain perlu dilihat bagi memastikan hak pengguna dapat dijaga dan isu ini dapat dikawal selia dengan baik. Oleh itu, sekiranya anda seseorang yang berdisiplin dan boleh bayar hutang mengikut masa yang ditetapkan, membuat pembelian BNPL disebabkan kecemasan; seperti membaiki kereta yang rosak di bengkel, membeli gadget yanf diperlukan dan membeli barang-barang keperluan lain,BNPL adalah satu fasiliti yang boleh dimanfaatkan. Namun jika anda mempunyai sikap yang sebaliknya, fasiliti kredit BNPL perlu dielakkan sebelum anda terjerumus didalam beban kewangan yang semakin parah.Langkah terbaik yang boleh diambil adalah, tangguhkan dahulu kehendak, dahulukan keperluan semasa.
Elakkan berhutang kepada barang yang tidak perlu dan kawal perbelanjaan anda. Diharapkan dengan penubuhan Suruhanjaya Kawalan Kredit yang dibangunkan secara bersama oleh Bank Negara Malaysia, KPKT, Kemeterian Kewangan, Suruhanjya Sekuriti dan beberapa badan kerajaan lain dapat memberikan satu lembaran baru didalam penyeliaan dan kawalan BNPL.
OLEH,
DR MOHD SHUKOR HARUN
PENSYARAH KANAN FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT, USIM