Pusat Pengoperasian PUSPAKOM di PUSPAKOM Wangsa Maju Inspection Center, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 MAC 2025

KUALA LUMPUR – PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) mengumumkan kenaikan caj perkhidmatan bagi van bergerak (MVS) perunit sebanyak 20 peratus dan trak bergerak (MTS) sebanyak 10 peratus sehari, bermula 1 April ini.

Pindaan itu menyaksikan caj MTS bagi jarak 50 kilometer (km) pertama naik sebanyak RM300 iaitu daripada RM3,000 kepada RM3,300, manakala caj MVS bagi 50km naik RM20 iaitu daripada RM100 kepada RM120.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, pindaan kadar caj itu dibuat setelah kajian menyeluruh dijalankan bagi memastikan kelestarian Perkhidmatan Bergerak PUSPAKOM dapat dikekalkan untuk manfaat pelanggan.

“Kadar caj baharu ini hanya melibatkan perkhidmatan bagi MTS dan MVS. Pelanggan yang membawa kenderaan ke cawangan PUSPAKOM tidak akan terkesan dengan perubahan ini.

“Perubahan ini sejajar dengan peningkatan kos operasi Perkhidmatan Bergerak kami. Walau bagaimanapun fi pemeriksaan kenderaan kekal tidak berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mahmood Razak, kali terakhir semakan harga caj perkhidmatan dibuat adalah pada tahun 2007, walaupun kenaikan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) berlaku setiap tahun.

MTS menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kepada syarikat yang memiliki jumlah kenderaan yang besar seperti operator kenderaan perdagangan, syarikat penghantaran barang, sekolah memandu dan pengedar kenderaan.

Sementara itu, MVS menawarkan pemeriksaan untuk kenderaan persendirian, termasuk tukar hak milik kenderaan, cukai jalan tamat tempoh dan pendaftaran kenderaan import.

Kedua-dua perkhidmatan itu merupakan kemudahan kepada pelanggan untuk mendapatkan pemeriksaan di lokasi pilihan mereka tanpa perlu hadir ke cawangan PUSPAKOM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here