Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bercakap kepada media selepas Taklimat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 i Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan penentuan kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO Bahagian Tuaran adalah keputusan bahagian itu serta Presiden UMNO Pusat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, ia bukan keputusan sembarangan oleh seorang individu tanpa ada perbincangan dengan UMNO Bahagian Tuaran.

“Autonomi bukan bermakna satu orang saja membuat keputusan.

“Kalau seorang saja siok-siok (suka-suka) membuat keputusan, itu bukan autonomi, itu autokrasi.

“Jadilah demokrat, bukan autokrat,” katanya dalam catatan menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Catatan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini yang dilaporkan bersedia meletakkan Abdul Rahman bertanding salah satu daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah akan datang.

Kenyataan Bung Moktar itu sebagai reaksi kepada laporan portal berita sebelumnya yang memetik kenyataan Abdul Rahman yang sedia memberi laluan sekiranya UMNO memutuskan tidak mencalonkan beliau pada PRN-17.

Menurut Bung Moktar, beliau terperanjat dengan keputusan Abdul Rahman itu dan mencadangkan salah satu DUN di Tuaran termasuk Sulaman memandangkan Abdul Rahman merupakan Ketua UMNO Tuaran serta berasal dari Sulaman.

DUN Sulaman ketika ini disandang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here