KUALA LUMPUR – Persaingan merebut jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin menarik apabila Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan menawarkan diri bagi jawatan tersebut.
Ini menjadikan beliau calon kelapan setakat ini mencuba nasib bagi merebut salah satu daripada empat jawatan itu pada pemilihan parti tersebut Mei depan.
Menurut Dr. Sathia, keputusan untuk bertanding dibuat selepas mengambil kira pandangan pemimpin serta rakan-rakan dalam parti yang lain.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Hulu Selangor berkata, keputusannya bertanding juga adalah bagi memastikan peningkatan tarikan PKR dalam kalangan pengundi muda dan profesional.
“Saya akan memastikan suara ahli akar umbi lebih didengari dalam membuat keputusan parti, serta memastikan setiap ahli diberi peluang untuk menyumbang kepada perjuangan parti, sekali gus mengembalikan kekuatan PKR sebagai parti dominan dalam politik Malaysia.
“Saya juga mahu memastikan PKR bukan sekadar parti dalam gabungan tetapi menjadi parti yang menerajui perubahan di Malaysia, dengan dasar lebih jelas, kuat, dan mampu menawan hati rakyat di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Serentak itu, Dr Sathia turut mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengarah Kongres Nasional PKR 2025, berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak sebarang percanggahan kepentingan dan memastikan ketelusan serta keadilan dalam proses perjalanan kongres.
“Saya yakin pihak kepimpinan parti akan melantik individu yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab ini bagi memastikan kelancaran kongres,” katanya.
Sebelum ini, empat penyandang Naib Presiden mengesahkan mempertahankan jawatan itu iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Turut menawarkan diri bertanding jawatan itu ialah Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Pada pemilihan 2022, empat jawatan Naib Presiden itu berjaya dimenangi Amirudin; Aminuddin; Nik Nazmi dan Lih Kang. – MalaysiaGazette