Datuk Farhash Wafa Salvador

KUALA LUMPUR – MMAG Holdings Bhd (MMAG) mengumumkan Datuk Farhash Wafa Salvador sebagai pemegang saham utama syarikat berkenaan dengan pegangan sebanyak 20 peratus.

Susulan itu, MMAG turut mengumumkan ahli perniagaan dan pelabur terkenal itu sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif syarikat tersebut.

“Datuk Wira Farhash membawa pengalaman luas dalam bidang keusahawanan, perundingan dan penasihatan.

“Beliau kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Bhd, sebuah syarikat pembrokeran saham dan perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia.

“Selain itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad serta Pengerusi Eksekutif Excel Force MSC Berhad dan Key Alliance Group Berhad,” kata MMAG dalam makluman ke Bursa Malaysia hari ini.

Menurut MMAG,di luar peranan korporatnya, Farhash juga merupakan ahli Lembaga Penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan keusahawanan di Malaysia.

Dalam makluman berasingan, MMAG turut mengumumkan Chan Swee Ying dan Chin Boon Long tidak lagi menjadi pemegang saham utama syarikat.

Susulan itu, Chan Swee Ying turut meletakkan jawatan sebagai Pengarah Ganti kepada Chin Boon Long di MMAG.

Selain itu, MMAG telah melantik See Toh Kean Yaw, Pengarah Eksekutif Velocity Capital Partner Berhad ( Velocity), sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada 27 Mac 2025.

Pelantikan itu dibuat selepas Velocity memperoleh pegangan sebanyak 6.49 peratus dalam MMAG pada 3 Mac 2025, seperti yang diumumkan menerusi pemfailan Bursa Malaysia pada 4 Mac 2025.

See Toh Kean Yaw akan bertindak sebagai wakil lembaga bagi pihak Velocity dalam MMAG.

MMAG juga melantik Erna Ismail, Pengarah Eksekutif NexG Berhad (NexG), sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif hari ini.

Untuk rekod, pada 27 Mac 2025, NexG muncul sebagai pemegang saham utama MMAG selepas memperoleh pegangan sebanyak 9.53 peratus dalam syarikat.

Erna Ismail akan bertindak sebagai wakil lembaga bagi pihak NexG dalam MMAG. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here