KUALA LUMPUR – Hydroshoppe Sdn Bhd. menyaman Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM1 billion berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Hydroshoppe (plaintif pertama) dan anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) selaku plaintif kedua turut menyaman empat pihak lain termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Turut dinamakan sebagai defendan, LSH Service Master Sdn. Bhd., LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan Service Master (M) Sdn. Bhd.
Writ saman itu difailkan semalam di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership.
Dalam pernyataan tuntutannya, kedua-dua plaintif mendakwa Hydroshoppe sebelum ini dilantik oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) mengendalikan Menara KL.
Dakwa plaintif, kerajaan menamatkan perjanjian tersebut secara salah pada November 2022 dan memberikan konsesi pengurusan menara itu kepada LSH Service Master Sdn Bhd pada Mei tahun lalu.
LSH Service Master adalah syarikat usaha sama antara LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Pernyataan tuntutan itu menyatakan, Hydroshoppe dan anak syarikatnya memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan perjanjian 2022 yang dimeterai dengan kerajaan sebagai masih sah dan mengikat.
Menurut pernyataan itu, plaintif-plaintif berkata, mereka masih berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun mulai 31 Disember 2022.
“Ganti rugi am yang akan ditaksir, yang dianggarkan melebihi RM1 billion,” kata plaintif dalam pernyataan tuntutannya yang diperolehi oleh pihak media hari ini.
Plaintif-plaintif turut mahukan defendan-defendan secara bersama atau berasingan membayar sejumlah RM17.4 juta sebagai kerugian berkaitan perbelanjaan VM Lab.
Turut dipohon, ganti rugi berjumlah RM2.6 juta berkaitan pemberhentian pekerja plaintif kedua. – MalaysiaGazette