SUNGAI BULOH – Kementerian Kerja Raya (KKR) menubuhkan jawatankuasa khas yang berperanan untuk menyelesaikan isu had muatan kenderaan yang berlebihan sehingga mengakibatkan kerosakan jalan raya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jawatankuasa tersebut ditugaskan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan agensi yang berkaitan untuk memperincikan isu tersebut.
Jelas beliau, kenderaan dengan muatan melebihi 10 peratus daripada berat dengan muatan (BDM) berisiko merosakkan jalan raya sehingga 50 peratus.
“Memang betul kenderaan berat menjadi punca kerosakan jalan. Sebab itu ada had muatan, tapi ada juga melanggar peraturan dan ini menjadi punca juga.
“Sekarang ada perbincangan di antara KSU (Ketua Setiausaha KKR) dengan pegawai-pegawai yang lain akan bersama MOT dengan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan trafik sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Restoran Jejantas Sg Buloh (Arah Utara).
Sementara itu, Alexander berkata KKR belum menerima laporan daripada syarikat konsesi susulan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dua pelajar adik-beradik di Kluang, Johor baru-baru ini.
“Saya belum dapat laporan, kelmarin saya dan pegawai pergi ke pejabat konsesi dan mohon mereka buat laporan dan hantar KKR…Bagi mereka masa sedikit untuk sediakan laporan,” jelasnya.
Terdahulu, Alexander pada Rabu lalu dilaporkan mengadakan pertemuan selama lebih dua jam dengan wakil syarikat konsesi itu di Melaka.
Ia susulan kejadian dua beradik, Norhazim Kamaruzaman, 17, dan Nur Alif Ikhwan, 16, yang maut akibat parah di kepala serta badan selepas motosikal ditunggang terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah.-MalaysiaGazette