PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup tiga komoditi termasuk mercun, beras dan pelbagai skrap besi dianggarkan bernilai RM18.36 juta.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan itu dibuat menerusi Ops Barrier pada 20 Januari hingga 28 Februari serta Ops Petasan bermula 3 hingga 28 Mac.
“Sebanyak 32 kontena bersaiz 40 kaki telah ditahan dalam Ops Barrier dan Ops Petasan.
“Pemeriksaan kontena dijalankan di gudang pengimport mercun yang berdaftar di Selangor, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Johor,” katanya pada sidang media, di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Taufik, hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun tidak mematuhi spesifikasi teknikal dan garis panduan dalam Permit Import yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kuantiti sitaan mercun sebanyak 57,813.30 kilogram (kg) dengan anggaran nilai sebanyak RM1,485,276 dan melibatkan duti/ cukai berjumlah RM978,247.
“Sebuah syarikat tempatan telah mengimport mercun yang tidak mematuhi spesifikasi teknikal seperti di dalam Permit Import, bagaimanapun kes masih dalam siasatan,” katanya.

Bagi sitaan beras pula, JKDM Selangor juga telah menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas 21 kontena bersaiz 20 kaki dalam kawasan Zon Bebas, di sini, pada Februari lalu.
“Hasil pemeriksaan di pertama ke atas sebuah kontena di Zon Bebas, Pelabuhan Utara di sini menemui komoditi beras seberat 19,760 kg dipercayai telah diimport tanpa Permit Import pada 17 Februari.
“Sementara itu, pemeriksaan kedua ke atas 20 buah kontena dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini pada 20 Februari pula menemui komoditi beras dengan berat 525,065 kg dipercayai diimport masuk tanpa Permit Import.
“Jumlah keseluruhan beras sebanyak 544,825 kg. Jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM2,014,129 dengan duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM805,651,” katanya.
Katanya, modus operandi yang digunakan pengimport dengan tidak mengikrar dagangan beras dalam Borang Kastam 1.
“Sebaliknya, dagangan itu diikrar sebagai bertih beras, snek, serbuk ketumbar, serbuk kunyit, kari ayam, serbuk masala serta natrium klorida dengan tujuan mengaburi pihak JKDM.
“Siasatan awal menunjukkan dagangan telah diimport dari sebuah negara di benua Asia.

Sementara itu, pelbagai jenis sisa logam termasuk besi, aluminium dan alat ganti mesin turut dirampas hasil pemeriksaan ke atas 69 kontena bersaiz 40 kaki di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat, di sini dalam Ops Tinman antara 1 hingga 28 Februari lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati kontena-kontena tersebut mengandungi sisa besi dan aluminium masing-masing dianggarkan seberat 1,036,844 kg dan 625,904 kg dipercayai telah diimport masuk tanpa Permit Import.
“Nilai sisa besi dianggarkan sebanyak RM8,276,044, manakala jumlah nilai sisa aluminium pula dianggarkan sebanyak RM4,803,111,” katanya.
Jelasnya, muatan kontena itu diikrar sebagai aloi aluminium, serpihan tembaga, serpihan aluminium dan bahagian jentera di dalam dokumen manifes.
“Siasatan awal menunjukkan dagangan telah diimport dari sebuah negara di benua Amerika. Kes ini masih dalam siasatan,” katanya.
Katanya lagi, ketiga-tiga kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan dan Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu pengikraran tidak benar.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar.
“Akta Kastam juga memperutukkan denda tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette