KUALA LUMPUR – Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dua parti politik hari ini mengecam keengganan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia di sini, menerima memorandum sempena Hari Al-Quds sedunia hari ini.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan satu penghinaan, mereka turut menyifatkan keengganan tersebut sebagai bukti jelas Amerika Syarikat (AS) bersekongkol sepenuhnya dengan jenayah genosid yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Kumpulan itu terdiri daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM); Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM); Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dalam satu kenyataan bersama, mereka mendakwa AS terus melindungi Israel daripada pertanggungjawaban dengan membekalkan bantuan ketenteraan, perlindungan diplomatik dan sokongan politik.
Katanya, tindakan AS itu bagi membolehkan pembunuhan beramai-ramai, pengeboman tanpa pandang bulu, serta pembersihan etnik yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat.
Jelasnya, keengganan untuk berdialog juga membuktikan bahawa AS bukan sekadar pemerhati tetapi merupakan rakan subahat aktif dalam jenayah perang Israel.
“Pada Hari Al-Quds Sedunia ini, jutaan umat Islam di seluruh dunia menuntut keadilan, pengakhiran penjajahan, serta perlindungan terhadap Masjid Al-Aqsa daripada keganasan Zionis.

“Dengan menolak suara rakyat, AS sekali lagi membuktikan keangkuhan dan hipokrasinya, berpura-pura mempertahankan hak asasi manusia sambil membiayai jenayah kemanusiaan Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, ratusan umat Islam menyertai himpunan aman di hadapan ibu pejabat Kedutaan AS di Malaysia di Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat petang tadi.
Antara yang turut hadir ialah Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Presiden PKPIM, Dzul Aiman Zulkefly; Ketua Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Sementara itu, kumpulan tersebut turut menuntut supaya AS menghentikan sokongan tanpa syarat kepada Israel dan menghentikan penghantaran senjata yang membiayai genosid di Palestin.
Selain itu, mereka turut mendesak campur tangan antarabangsa segera untuk menghentikan serangan Israel dan melindungi rakyat Palestin.
Dalam masa sama, katanya, sekatan tegas perlu dikenakan terhadap Israel atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Tambahnya, masyarakat global juga perlu mengambil tindakan boikot terhadap syarikat AS dan Israel yang bersubahat dalam membiayai penjajahan.
“Dunia tidak akan berdiam diri. Amerika Syarikat akan dipertanggungjawabkan atas setiap nyawa rakyat Palestin yang terkorban akibat penglibatannya dalam jenayah rejim Zionis,” katanya. – MalaysiaGazette