Gambar hiasan perang Gaza Foto AFP

KUALA LUMPUR – Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) melancarkan inisiatif kemanusiaan Ramadan menerusi program Grand Iftar Gaza dengan matlamat menyediakan 10,000 hidangan panas setiap hari kepada rakyat Gaza yang terjejas teruk akibat konflik berterusan.

Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, penganjuran iftar secara berkumpulan tahun ini tidak dapat diteruskan atas faktor keselamatan.

Ini kerana, menurutnya, ancaman serangan tentera Israel terhadap lokasi orang awam menyebabkan rakyat Gaza tidak lagi selamat untuk berkumpul dalam jumlah besar.

Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief, Jismi Johari bercakap pada sidang media mengenai Ops Ihsan Humanitarian Aid to Gaza di Duta Nusantara Clubhouse, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 02 NOVEMBER 2023.

Sehubungan itu, ujarnya, proses pengagihan terpaksa dilakukan secara berselerak melalui dapur pusat (central kitchen) yang kini berubah lokasi setiap hari demi mengelakkan sebarang risiko pengeboman.

“Ramadan seharusnya menjadi bulan pengharapan, bukan penderitaan. ‘

“Dengan sokongan rakyat Malaysia, kita mampu menyentuh jiwa-jiwa yang diuji di Gaza, dan menunjukkan bahawa kemanusiaan masih wujud, walau di tengah kekejaman.

“Penduduk Gaza kini hidup dalam kesengsaraan yang tak tergambar-kehilangan rumah, keluarga, dan juga akses kepada makanan asas.

“Dalam kegelapan ini, sepinggan makanan bukan sekadar pengalas perut, tetapi simbol harapan… bahawa dunia masih peduli, dan kasih sayang masih mengalir merentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, program itu memberi fokus kepada golongan paling rentan termasuk kanak-kanak, ibu tunggal, dan warga emas yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar untuk meneruskan kehidupan.

Ujarnya, setiap hidangan yang disalurkan mengandungi makanan panas yang disediakan mengikut keperluan pemakanan tempatan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk turut sama menjayakan kempen tersebut dengan sumbangan boleh dibuat terus ke akaun rasmi MAHAR di CIMB Bank (No. Akaun: 8605980459) atas nama akaun Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Rujukan: Iftar4Gaza). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here