KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sarawak diminta supaya tidak melayan permintaan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng yang mencadangkan agar masyarakat Cina di negeri itu diberikan status Bumiputera.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris menyifatkan cadangan itu tidak masuk akal.
Beliau juga mendakwa, cadangan itu jelas dan terang mahu memadamkan bangsa Melayu sebagai bangsa pribumi yang ada di negara ini.
Beliau berkata, Perkasa percaya kepelbagaian bangsa dan etnik yang ada di Sarawak sudah cukup memadai tanpa perlu memberi status Bumiputera kepada bangsa Cina di Sarawak.
“Apa mesej yang YB Parlimen Julai ingin sampaikan?
“Apakah hak-hak orang minoriti yang ada di semenanjung dan Sabah serta Sarawak tidak cukup lagi sehinggakan YB sanggup memberi cadangan yang tak masuk akal dengan memberi cadangan status Bumiputera kepada orang cina?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, Sng memberi cadangan supaya kaum Cina di Sarawak diberikan status Bumiputera.
Menurut beliau, ini kerana ramai dalam kalangan masyarakat Cina di negeri itu mempunyai salasilah keluarga yang menjangkau lebih 150 tahun.
Menurutnya, sebilangan besar daripada mereka juga lahir di Sarawak dan telah berkhidmat, berjuang, berkorban serta menyumbang secara besar-besaran kepada kesejahteraan ekonomi negeri itu.
Mengulas lanjut, Irwan Fahmi berkata, Sng perlu tahu kekayaan ekonomi di negara ini telah berjaya dikuasai hampir semua masyarakat minoriti termasuk juga dalam sistem pendidikan. -MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
Larry cadang masyarakat Cina Sarawak diberi status Bumiputera