GEORGE TOWN – Taktik 14 lelaki tempatan menjadikan bengkel baiki dan mengecat kereta di Jalan Sungai Pinang di sini, sebagai lokasi bermain judi terup berjaya dibongkarkan pihak polis menerusi Ops Dadu awal pagi tadi.
Keasyikan mereka berusia 27 hingga 57 tahun yang sedang berjudi itu terbantut selepas sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang diketuai Inspektor Mohamad Sobirin Yatim menyerbu premis tersebut kira-kira jam 2.30 pagi.
MalaysiaGazette difahamkan, mereka yang merupakan pekerja bengkel berkenaan aktif berjudi sejak lima hari untuk mengumpul duit membeli baju sempena hari raya Aidilfitri serta pulang beraya di kampung.

Soal siasat awal polis turut mendapati wang pertaruhan setiap satu pusingan judi tersebut mencecah RM500.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dalam kenyataan media berkata, dalam serbuan itu pihak polis merampas 52 keping daun terup, wang tunai RM4,288, walkie-talkie (3 unit) dan peralatan lain yang digunakan untuk perjudian tersebut.
“Kesemua suspek direman selama dua hari sehingga 30 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 4(1)(c) akta sama,” katanya. – MalaysiaGazette