Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melawat tapak jualan pasar ketika hadir ke Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal 1446H Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 MAC 2025.

KLANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bekalan keperluan harian di setiap lokasi pasar tani di seluruh negara mencukupi menjelang Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, para pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan itu yang dibekalkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagaimanapun kata beliau, perubahan cuaca yang singkat mungkin berpotensi mempengaruhi bekalan sekali gus mengganggu kestabilan rantai makanan.

“Buat masa ini, keadaannya masih terkawal dan kementerian memberi jaminan bekalan daging, ayam dan sayur-sayuran mencukupi untuk sambutan Aidilfitri.

“Kita yakin pengguna juga tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang keperluan itu kerana persediaan awal menambah bekalan sentiasa dibuat oleh agensi di bawah kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Semarak Syawal 1446H Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kementeriannya hanya membekal barangan keperluan manakala pengawalan harga tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Setiap usahawan di outlet pemasaran FAMA hendaklah mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 yang telah dikeluarkan oleh pihak KPDN,” katanya.

Mohamad turut mengakui menerima beberapa aduan mengenai kekurangan bekalan di beberapa lokasi namun katanya ia adalah kes terpencil dan sudah mengarahkan FAMA untuk menyelesaikannya dengan segera.

“Ada kelompangan satu, dua. Tak banyak aduan tahun ini, amat kurang dan semua sampai kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, Program Semarak Syawal telah berlangsung di 262 lokasi seluruh negara dari 22 Mac lalu hingga hari ini dengan sasaran nilai jualan mencecah RM20 juta.

Selain di Pasar Tani Taman Sri Andalas, jualan khas turut diadakan di 42 lokasi terpilih di seluruh negeri dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi Bakul Madani Raya dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi ayam proses.

Program itu bertujuan untuk membantu masyarakat mendapatkan bekalan keperluan harian yang berkualiti dan berpatutan bagi persiapan Syawal.

Selain itu, ia juga membuka peluang kepada pengguna untuk mendapatkan produk pertanian dan asas tani segar dengan harga yang lebih kompetitif.

Program ini turut memberi manfaat kepada petani serta usahawan tempatan dalam meningkatkan pendapatan mereka melalui penyertaan dalam jualan khas.

Pada masa sama, ia menawarkan pelbagai promosi istimewa bagi mengurangkan kos perbelanjaan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast