TAIPING – Daging lapan ekor lembu dan dua tan ayam segar habis terjual kepada lebih 1,000 pengunjung sempena Jualan Termurah Madani (JTM) Aidilfitri Parlimen Bukit Gantang, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, waktu jualan juga terpaksa diawalkan sejam pada jam 7 pagi berikutan orang ramai sudah mula membanjiri dua lokasi yang ditetapkan.
Menurut beliau, dua lokasi JTM Parlimen Bukit Gantang itu adalah di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, di Kampung Benggali di sini serta di kawasan Trong.
“Daging dan tulang lembu segar yang disembelih malam tadi kita jual hanya RM28 sekilogram, manakala satu kepak ayam cuma 50 sen seketul sahaja.
“Tujuan kita buat JTM ini untuk membantu orang ramai membeli keperluan hari raya pada harga yang berpatutan seperti yang kita buat sebelum ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada program JTM yang dilaksananya lebih tiga tahun yang lalu tanpa subsidi daripada kerajaan tetapi masih mampu memberikan harga lebih rendah daripada pasaran.
Syed Abu Hussin berkata, pihaknya menggunakan kaedah dengan mendapatkan terus barang-barang daripada pembekal tanpa melalui orang tengah bagi melaksanakan program demikian.
“Melalui JTM ini kita memberi tekanan kepada pasaran yang kebanyakan sekarang ni dikawal oleh kartel. Kartel akan mengambil keuntungan yang semaksimum mungkin, memanipulasi harga dan akhirnya rakyat yang kena bayar.
“Jadi kita cuba mengelakkannya berlaku, kita bawa terus kepada pengguna, tidak ada orang tengah. Dengan cara ini kita berikan tekanan kepada pasaran supaya pasaran ikut. Alhamdulillah, sekarang ini jualan murah sudah merebak di merata tempat, semua orang buat jualan murah,” katanya.
Bagi Bagi Roslina Che Mei, 49, dari Kamunting, JTM itu memang dinanti-nantikan sejak tahun lepas membeli daging untuk keperluan hari raya.
Ujarnya, dia tidak berkesempatan membeli daging disebabkan sudah habis terjual dan hanya membeli paru sahaja.
“JTM ini bagus, memang tolong ringankan beban sebab boleh jimat banyak. Lagi murah beli dari kat pasar raya. Memang sangat membantu mereka yang memerlukan.
“Cuma itulah, sekejap sahaja sudah habis. Ingatkan sempat beli daging. Jadi saya beli apa yang ada sahaja,” katanya.
Selain daging dan ayam, barangan yang turut dijual termasuklah kerang, beras putih tempatan, minyak masak dan pelbagai jenis barangan kering. -MGPerak
ARTIKEL BERKAITAN:
Jualan Rahmah Madani, Pra-Syawal atasi isu kos sara hidup – Zahid
MGPerak: Jualan Agro Madani Tawar Harga Murah Menjelang Ramadan