KUALA LUMPUR – Seorang penjual belon dikasari penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana dipercayai menjalankan aktiviti tanpa lesen di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, malam tadi.
Menerusi rakaman yang tular, beberapa orang penguat kuasa DBKL ‘menumbangkan’ seorang lelaki yang membawa belon hingga menimbulkan suasana kecoh.
Difahamkan, kekecohan mula berlaku selepas pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan merampas barang jualan daripada beberapa individu termasuk penjual belon berkenaan.
Ketika rampasan hendak dilakukan, penjual terbabit enggan menyerahkan puluhan belon yang dibawanya hingga kemudiannya berlaku pergelutan.
Berdasarkan audio, seseorang meminta agar penguatkuasa terbabit tidak mengasari penjual belon itu dan bersimpati terhadapnya.
“Bang, jangan sampai macam ni bang, rilkeslah bang, jangan sampai macam ni,” kedengaran suara seorang lelaki yang merayu secara berulang-ulang agar penjual belon itu dilepaskan.
Rakaman tersebut telah mendapat reaksi dalam kalangan netizen termasuk beberapa pemimpin politik.
Ketika ini MalaysiaGazette sedang mendapatkan maklum balas daripada beberapa pihak berkaitan insiden berkenaan. – MalaysiaGazette