Pelakon, Rozita Che Wan bersama suaminya Zain Saidin

KUALA LUMPUR – Pelakon Zain Saidin tampil menjelaskan isu dia didakwa enggan bergambar dengan pengunjung yang tidak membeli produk jualannya di sebuah acara di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Suami kepada pelakon Rozita Che Wan itu menegaskan dia hanya akan memberi peluang peminat untuk bergambar sekiranya mereka membeli produk yang dijual terlebih dahulu.

“Saya sampaikan kepadanya, boleh hendak bergambar dengan kami tetapi beli produk dulu kerana bergambar bersama bukan kena bayar tetapi bila beli produk dan sokong kami, foto itu sebagai ‘free gift’.

“Kami bukan berlagak sebab tak mahu bergambar dan kecoh isu ini. Kami datang acara ini bukan naik pentas menyanyi dan sebagainya tetapi sebagai peniaga,” katanya mempertahankan tindakan itu di dalam sebuah video TikTok di sini hari ini.

Zain, 41, berkata, meletakkan syarat sebegitu adalah haknya sebagai peniaga yang perlu menanggung pelbagai kos untuk membuka gerai jualan di acara tersebut.

“Kami bukan hadir sebagai artis jemputan dan dibayar sebaliknya membuka gerai jualan dan berniaga. 

“Peniaga seperti kami perlu tanggung banyak perbelanjaan termasuk kos penginapan, penerbangan, bayar pekerja dan makan serta minum.

“Semua itu pakai duit. Jadi, bila mereka datang ke gerai jualan dan hanya untuk bergambar dan tetapi tak beli produk.

“Adakah kami ke sini hanya untuk bergambar sahaja kemudian balik? Boleh tak saya mintak semua gambar yang kalian ambil itu dan gunakannya untuk bayar segala bil selepas pulang nanti?” katanya lagi.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu juga meminta orang ramai yang melemparkan kecaman memahami situasinya yang berniaga untuk mencari sesuap nasi dan menyokongnya dengan membeli produk yang dijual.

“Sila faham, kami hadir sebagai peniaga dan kelebihan kami adalah artis dan anda boleh bergambar dengan kami sekiranya anda beli barang kami untuk sokong.

“Kami pun kena sara hidup, bukan duit jatuh dari langit di atas rumah kami. Kami juga kena usaha dan bekerja. Nak kutuk, saya tak kisah. 

“Tak mahu sokong beri produk pun okey tetapi jangan paksa kami pula bergambar dengan anda. Semudah itu, kalau kami dibayar penganjur, kami okey untuk bergambar,” ujarnya.

Tiada niat untuk berkasar membalas kecaman netizen, Zain turut mencadangkan selebriti lain melakukan hal sama.

“Kalau bergambar sahaja, anda tak beli produk, kami mati. Bukan nak berkasar tetapi bila orang serang dan tuduh macam-macam, tolonglah faham. 

“Namun, saya sangat yakin dengan rezeki Allah. Produk kami pun berkualiti dan bukannya jual benda yang tidak bagus. Saya pun cadangkan artis lain buat begitu bahawa kita ini ada nilai,” ujarnya.

Terdahulu, seorang individu memuat naik luahan dalam Instagram yang sedih apabila mendakwa permintaannya untuk bergambar dengan Zain dan Che Ta tidak dilayan.

Dakwanya, Zain meminta dia membeli produk yang dijual terlebih dahulu sekiranya ingin bergambar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here