Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendakwa penjaja belon tanpa lesen yang bergelut dengan penguat kuasanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam tadi telah bertindak agresif apabila ditegur buat kali ketiga sehingga berlaku sentuhan fizikal.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKL menjelaskan, kejadian itu berlaku sekitar jam 11.50 malam ketika pasukan penguat kuasa melakukan rondaan berkala di kawasan tersebut.

Menurut DBKL, pihak penguat kuasa telah memberi teguran sebanyak dua kali, namun penjaja belon berkenaan enggan mematuhi arahan dan terus menjalankan perniagaan seperti biasa.

Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja berkenaan didakwa bertindak agresif dengan menolak penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

“Bagi mengelakkan keadaan menjadi tegang dan menghalang insiden lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.

“Namun situasi menjadi lebih tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun situasi berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian,” katanya.

DBKL turut mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Kata kenyataan itu, berapa penjaja tanpa lesen didapati menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki, menyebabkan kesesakan dan menghalang pergerakan orang ramai terutama ketika musim persiapan sambutan Aidilfitri.

DBKL menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam.

“Kawasan Jalan TAR merupakan lokasi tumpuan ramai, terutama menjelang Aidilfitri dan DBKL bertanggungjawab memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan orang awam sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Sementara itu, DBKL turut mengesahkan satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa terlibat, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mendapatkan keterangan daripada semua pihak yang terbabit.

Dalam pada itu, pihaknya akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini pada masa hadapan.

“Kita menafikan tindakan penguatkuasaan tersebut berunsurkan perkauman, sebaliknya dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan tanpa mengambil kira latar belakang kaum.

“DBKL meminta semua pihak agar tidak menyebarkan spekulasi negatif atau sentimen yang boleh merosakkan keharmonian, selain menyeru masyarakat untuk mematuhi undang-undang dan peraturan demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bullshit laa..kalau dia meniaga secara haram..ko saman lah..yg kau grip kepala dia dan sampai cedera tulang tu dah kenapa? Lain lah dia penjenayah ganas ka…bodoh punya DBKL

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here