KUALA LUMPUR -Penjaja belon yang tular kerana dikasari penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini, sedang dirawat di sebuah hospital kerajaan di Serdang.
Ibu pemuda berkenaan dalam temubual menerusi telefon oleh stesen televisyen swasta memaklumkan, anaknya mungkin mengalami kecederaan patah tulang.
“Doktor sudah buat X-ray, doktor nampak macam ada (tulang) patah,” katanya sambil memaklumkan keadaan anaknya stabil.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/03/29/kecoh-dbkl-tumbangkan-penjual-belon-tanpa-lesen-di-jalan-tar/
Sehubungan itu, peguam Mahmud Jumaat menasihatkan pemuda berkenaan untuk membuat laporan polis sebaik sahaja selesai menjalani rawatan.
Menurut beliau, isu ini bukan lagi melibatkan aktiviti perniagaan tanpa lesen tetapi menyentuh kes lain iaitu menyebabkan kecederaan parah kepada individu lain.
“Sebab itu apa-apa mesti ikot SOP (prosedur operasi standard). Apatah lagi penjawat awam. Silap cara tatatertib kamu kena. Itu tidak mengapa.
“Kalau kena tuduh melibatkan kes kecederaan parah bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan wajib penjara bang.
“Itu je aku nak cakap. Doa-doa la bacaan x-ray tu salah dan tiada kecederaan patah tulang berlaku. Doa-doa la bang,” katanya.
Pagi tadi tular video seorang penjual belon dikasari penguatkuasa DBKL kerana dipercayai menjalankan aktiviti tanpa lesen di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, malam tadi.
Menerusi rakaman yang tular, beberapa orang penguat kuasa DBKL ‘menumbangkan’ seorang lelaki yang membawa belon hingga menimbulkan suasana kecoh.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, penjaja belon berkenaan bertindak agresif apabila ditegur buat kali ketiga sehingga berlaku sentuhan fizikal. -MalaysiaGazette