KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil langkah tegas dengan melarang penggunaan bahan kempen fizikal seperti banner, poster besar, bunting dan streamer pada pemilihan parti bagi tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr. Zaliha Mustafa berkata, larangan itu berkuat kuasa sepanjang tempoh kempen rasmi yang ditetapkan JPP bagi memastikan perjalanan pemilihan lebih bersih dan adil.
“Mulai pemilihan kali ini, bahan kempen berbentuk fizikal seperti banner, poster besar, bunting, streamer dan lain-lain tidak dibenarkan dipamerkan di tempat awam sepanjang tempoh kempen rasmi yang ditetapkan oleh JPP.
“Bagi pemilihan Pimpinan Pusat, termasuk Wanita Pusat dan Angkatan Muda Pusat, sebarang bentuk kempen sama ada fizikal atau dalam talian yang berbentuk kempen berkumpulan tidak dibenarkan sama sekali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu Zaliha berkata, JPP turut menetapkan tiada sebarang bentuk kempen dibenarkan pada hari pengundian bagi memastikan proses berjalan lancar tanpa pengaruh luar.
Menurutnya lagi, parti turut menghadkan jumlah anggota yang berkumpul untuk membuang undi secara dalam talian.
“Anggota parti tidak dibenarkan berkumpul melebihi 50 orang di mana-mana premis bagi tujuan membuang undi secara atas talian,” ujar.
PKR dijangka mengadakan pemilihan parti 2025 dengan peraturan baharu itu ditetapkan bagi memastikan pemilihan lebih telus dan berdisiplin. – MalaysiaGazette