KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden kekecohan melibatkan penjaja belon tanpa lesen dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, insiden tersebut tular menerusi sebuah video berdurasi 1 minit 42 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook bernama Ratu Naga.
Video itu memaparkan kekecohan antara penjaja belon dan anggota penguat kuasa DBKL ketika proses penyitaan barangan di tepi jalan berkenaan.
“Semasa proses penyitaan dijalankan, berlaku pergelutan antara anggota penguat kuasa DBKL dan penjaja terbabit selain beberapa penjaja lain yang turut membuat provokasi.
“Berikutan kejadian itu, anggota penguat kuasa DBKL telah membuat laporan polis pada hari ini dan kes sedang disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sulizmie menegaskan pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Beliau turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dalam insiden berkenaan.
Dalam pada itu, polis juga menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara adil dan menyeluruh. -MalaysiaGazette