MENJELANG Aidilfitri, isu kenaikan harga santan menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat Malaysia. Dari dapur rumah hingga ke perniagaan kecil, ramai yang merasakan kesan lonjakan harga bahan utama ini. Santan adalah bahan penting dalam penyediaan juadah tradisional seperti rendang, lemang, lodeh, nasi dagang, serta pelbagai kuih-muih yang sinonim dengan perayaan. Namun, peningkatan harga santan menyebabkan kos penyediaan makanan perayaan melonjak, membebankan pengguna dan peniaga.
Laporan FAMA menunjukkan harga kelapa tua di Malaysia dijangka kekal tinggi pada Mac 2025, melebihi harga biasa iaitu sekitar RM3.10 hingga RM3.30 sebiji. Kekurangan bekalan kelapa tua di pasaran memberi kesan langsung kepada harga santan, dengan laporan menunjukkan harga santan segar kini mencecah antara RM15 hingga RM22 sekilogram. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut melaporkan kenaikan harga purata santan sebanyak 20% hingga 40% berbanding tahun sebelumnya.
Dalam usaha mengawal kenaikan mendadak ini, KPDN telah membuka tiga kertas siasatan dan mengeluarkan 47 notis kepada peniaga yang didapati menaikkan harga secara tidak wajar. Selain itu, santan segar kini dimasukkan dalam Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan, dengan harga ditetapkan pada RM17.50 sekilogram di Semenanjung, RM9 di Sarawak, RM12 di Sabah, dan RM15 di Labuan. Langkah ini diharapkan dapat mengelakkan lonjakan harga yang lebih drastik menjelang Aidilfitri.
Mengapa harga santan naik?
Kenaikan harga santan bukan fenomena baharu, tetapi faktor yang mencetuskannya kali ini lebih kompleks. Kekurangan bekalan kelapa tempatan dan kenaikan harga kelapa import dari Indonesia menjadi penyebab utama. Malaysia masih bergantung kepada kelapa import, terutamanya dari Indonesia dan Thailand, menjadikan pasaran tempatan lebih mudah terkesan dengan gangguan bekalan luar.
Di Indonesia, musim melawas sejak Ogos 2024 telah menyebabkan pengeluaran kelapa berkurangan hingga 60%. Pengeluaran dijangka pulih menjelang Mei 2025, tetapi buat masa ini, kekurangan bekalan terus menekan harga. Selain itu, peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China telah mengurangkan jumlah bekalan yang masuk ke Malaysia. Apabila permintaan meningkat tetapi bekalan terhad, harga secara semula jadi akan melonjak.
Di peringkat domestik, pengeluaran kelapa tempatan turut menghadapi cabaran. Petani tempatan lebih cenderung menanam kelapa muda kerana harga jualannya lebih tinggi dan tempoh tuaian lebih pendek. Akibatnya, bekalan kelapa tua yang diperlukan untuk menghasilkan santan semakin berkurangan, menambahkan lagi tekanan kepada harga santan di pasaran.
Selain faktor bekalan, ekonomi global juga memainkan peranan dalam peningkatan harga santan. Kejatuhan nilai Ringgit berbanding Dolar AS meningkatkan kos import kelapa. Dalam masa yang sama, kenaikan harga bahan api, kos pengangkutan, dan gaji pekerja turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi, sekaligus memberi kesan kepada harga santan.
Kesan kepada pengguna dan peniaga
Kenaikan harga santan memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kos bahan mentah yang semakin mahal
meningkatkan perbelanjaan harian. Akibatnya, ramai yang mula mencari alternatif seperti santan kotak atau santan serbuk, walaupun kualitinya tidak setanding dengan santan segar. Peniaga makanan dan pengusaha kuih-muih tradisional turut terjejas. Dengan kos bahan mentah yang meningkat, mereka terpaksa memilih antara menaikkan harga jualan atau menyerap kos tambahan, yang boleh menjejaskan keuntungan dalam jangka panjang.
Ada juga peniaga yang cuba mengurangkan kuantiti atau kualiti santan dalam hidangan mereka, tetapi tindakan ini berisiko menjejaskan kepuasan pelanggan. Jika juadah yang dijual tidak lagi mengekalkan rasa asli, pelanggan mungkin akan beralih ke tempat lain.Juadah tradisional Malaysia amat bergantung kepada santan sebagai ramuan utama. Tanpa santan berkualiti, rasa hidangan seperti rendang, lemang, lodeh, dan kari mungkin tidak lagi sama. Sesetengah keluarga cuba menggantikan santan dengan bahan alternatif seperti susu cair atau krim masakan, tetapi ia tidak dapat memberikan rasa dan tekstur yang serupa. Jika trend ini berterusan, generasi akan datang mungkin tidak lagi dapat menikmati hidangan tradisional dengan cita rasa asli.
Sampai bila?
Persoalan utama yang sering berlegar di fikiran rakyat ialah sampai bila harga santan akan terus meningkat. Adakah ini sekadar fenomena sementara atau petanda bahawa kos sara hidup akan terus meningkat tanpa kawalan? Walaupun kerajaan telah mengambil langkah untuk mengawal harga dan memantau peniaga, isu bekalan kelapa yang tidak mencukupi masih menjadi cabaran utama. Malaysia perlu mencari penyelesaian jangka panjang dengan meningkatkan pengeluaran kelapa tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, dan memastikan rantaian bekalan lebih stabil.
Dalam situasi ini, rakyat Malaysia bukan sahaja perlu bersedia menyambut Hari Raya tetapi juga perlu bersiap sedia menghadapi cabaran harga yang semakin meningkat. Seperti kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”—mungkin sudah tiba masanya untuk mencari alternatif dan merancang perbelanjaan dengan lebih bijak agar juadah dinikmati tanpa terlalu terbeban dengan kos yang tinggi.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Johor Business School, UTHM