Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar kenangan pada majlis pelepasan ke Misi bantuan kemanusiaan dan SAR ke Myanmar di Pangkalan Udara Subang, Tentera Udara Diraja Malaysia, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 30 MAC 2025.

SUBANG – Seramai 50 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART)  bertolak ke Yangon, Myanmar bagi misi bantuan kemanusiaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan gempa bumi yang menggegarkan negara itu pada Jumaat lalu.

Pasukan berkenaan dibawa dengan menaiki dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat pertama berlepas pada pukul 9.30 pagi tadi manakala pesawat kedua pula bertolak setengah jam kemudian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat hadir pada majlis pelepasan pasukan tersebut di Pangkalan Udara TUDM di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Antara peralatan yang turut dibawa bersama misi kali kali ini adalah dua buah trak, satu pacuan empat roda dan peralatan mencari dan menyelamat termasuk perubatan berjumlah 33 tan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merupakan agensi peneraju kepada misi bantuan kemanusiaan dan SAR ke negara berkenaan yang turut melibatkan koordinasi bersama Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebagai rekod, pada Jumaat lalu, gempa berukuran 7.7 magnitud menggemparkan negara itu pada jam 12.50 tengah hari waktu tempatan dengan kedalaman kira-kira 10 kilometer.

Gempa bumi itu memusnahkan bangunan, merobohkan jambatan, dan merosakkan jalan raya di seluruh kawasan Myanmar dengan kerosakan teruk dilaporkan di bandar kedua terbesar, Mandalay.

Kemudian junta Myanmar merayu bantuan antarabangsa dan tawaran bantuan mula diterima.

Sehingga semalam, dilaporkan seramai lebih 1,000 penduduk  maut akibat gempa tersebut selain 27 cedera.

Dipercayai masih ramai lagi yang terperangkap di bawah runtuhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here