GEORGE TOWN – “Setiap hari seperti Ramadan buat kami kerana terpaksa berpuasa akibat tiada makanan,” itulah hakikat hidup yang dilalui Hasrizal Mehad, 47, bersama isteri serta lima anaknya di sebuah rumah setinggan di Permatang Damar Laut, di sini.
Kisah keluarga ini menyentuh hati ramai apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, mendedahkan keadaan mereka di media sosial.
Malah, dalam tempoh singkat, orang ramai berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM26,000 bagi membantu keluarga tersebut.
Menurut Tze Tzin, Hasrizal merupakan seorang pekerja gudang dengan pendapatan RM1,700 sebulan dan keadaan rumah mereka sangat daif ketika pihaknya melakukan lawatan.
“Bumbung rumah bocor dan setiap kali hujan, katil mereka basah, lantai berlecak namun mereka tiada pilihan selain tidur dalam keadaan begitu
“Lebih menyedihkan, Hasrizal terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer ke tempat kerja kerana motosikalnya rosak dan memilih untuk berjimat demi mengumpul wang RM500 bagi membaikinya.

“Keadaan keluarga itu juga menyebabkan dua daripada lima anaknya terpaksa berhenti sekolah selain pernah isteri Hasrizal, Mazmin Yusoff, 47, tidak mampu menghasilkan susu badan buat bayinya kerana dia sendiri tidak cukup makan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Tambah Tze Tzin, pihaknya berusaha mendapatkan bantuan rumah kerajaan negeri buat keluarga tersebut dengan sewa dan bil utiliti akan ditanggung selama tiga tahun.
“Kita juga membelikan Hasrizal sebuah motosikal baharu bagi memudahkannya ke tempat kerja, manakala anak-anaknya akan didaftarkan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memperoleh kemahiran.
“Selain itu, kita juga membawa kesemua mereka membeli kelengkapan raya agar dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.
“Sumbangan yang diberikan bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga sinar harapan buat keluarga ini,” katanya. – MalaysiaGazette