Seorang bekas penagih dadah, 'Pak Atan' ketika ditemui di PUSPEN Gambang.

KUANTAN – Tiada perasaan mampu diungkap selain menahan kerinduan ekoran tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak.

Begitulah luahan kesal seorang bekas penagih dadah yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Atan, 54, ketika ditemui di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang.

Tatkala keluarga lain sibuk menyiapkan kelengkapan untuk berhari raya, Pak Atan hanya mampu mengharapkan agar empat anaknya akan melawatnya di sini nanti.

“Sebenarnya, ini Hari Raya Aidilfitri kedua saya di sini. Kali pertama masih lagi isteri dan anak-anak saya datang tapi selepas raya tahun lepas berlakunya perpisahan dengan isteri. Jadi, langsung saya tak dapat jumpa dengan anak-anak.

“Saya ada dua anak dengan isteri yang pertama iaitu anak lelaki berusia 27 tahun merupakan seorang pegawai JPJ dan anak perempuan berusia 23 tahun sedang buat latihan sebagai pakar bedah di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dua anak dengan isteri kedua pula anak perempuan berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 11 tahun.

“Anak dengan isteri pertama yang ada di Kuala Lumpur akan turun ke Terengganu untuk ambil adiknya dan bawa datang jumpa saya. Mungkin saya akan dapat jumpa anak saya setelah 10 bulan.

“Rindu teramat tapi apa mampu saya buat selain berdoa,” katanya.

Mengimbau detik hitam sewaktu mula-mula terjebak dengan najis dadah, Pak Atan menyesali bergelumang dengan kehidupan cara bebas dan terlalu mengikut emosi.

Dek kerana ikutkan perasaan kecewa dengan isteri pertamanya, Pak Atan mencari ketenangan dengan berkunjung ke kelab-kelab malam di Johor Bahru.

Disebabkan sikapnya itu, rumah tangga dibina selama hampir 30 tahun bersama isteri pertama akhirnya roboh lalu dia pulang ke kampung di Marang, Terengganu dan berkahwin dengan isteri kedua yang merupakan seorang guru tiga tahun selepas itu.

“Tapi akhirnya, saya terbawa-bawa tabiat lama saya dan terjebak pula dengan dadah (pil kuda) secara suka-suka. Saya berpisah dengan isteri muda selepas empat bulan saya berada di sini. Sekarang saya tiada isteri,” tambahnya.

Namun Pak Atan memberitahu bersyukur dengan hikmah yang Allah kurniakan kepadanya sejak dia memasuki PUSPEN Gambang.

Ilmu agama dan kemahiran baru yang diperoleh di sini katanya sangat bernilai dan mampu membuatkan dia bangkita semula untuk membina kehidupan baru agar nasib anak-anaknya terbela.

“Di sini utamanya saya dapat semua ilmu mengenai keagamaan. Kalau di luar biasanya kita tak dapat solat yang cukup. Kalau di sini kita dapat solat yang sepenuhnya, cukup lima waktu.

“Setiap hari Jumaat kita ada qiamullail. Saya belajar buat Solat Tahjud, Solat Tasbih. Jadi saya rasa di sini saya dapat mendekat Allah dan saya boleh buang sikap buruk saya dahulu.

“Saya rasa saya sedia untuk menghadapi hari pembebasan saya dan saya ada perancangan untuk hidup di luar nanti,” jelas Pak Atan yang berasal daripada Terengganu.

Bercerita mengenai perancangan untuk kehidupan barunya, Pak Atan berkata, dia mahu berhijrah ke tempat lain agar tidak lagi terjebak dengan kelompok sama yang boleh menjerumuskannya ke kancah kehidupan lama.

Katanya, dia pernah mempunyai tiga gerai buah-buahan tempatan di Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman secara sampingan selain bekerja sebagai penasihat dalam sektor pembangunan.

Namun kesemua perniagaannya tutup. Justeru, katanya dia terpaksa bermula semula dari bawah di tempat baharu.

“Hidup perlu pandang ke depan. Saya tak mahu lagi fikir yang di belakang tu. Yang keruh tu saya buang, saya cebok yang jernih sahaja kerana saya masih perlu bina nasib saya dan anak saya walaupun saya tiada lagi isteri.

“Saya harap kepada yang mengenali saya, mohon doa saya supaya saya kekal pulih. Sebelum ini saya dalam kehanyutan tapi Allah nak saya pulih. Allah masih sayang saya. Inilah jalan kesedaran saya,” luahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here