SUBANG – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijangka akan berada di Myanmar bagi misi bantuan kemanusiaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama tujuh hingga 14 hari.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tempoh itu bergantung dengan keperluan semasa bantuan untuk negara tersebut.
“Kita harap bantuan ini akan mempercepatkan SAR pasukan antarabangsa yang juga datang dari beberapa buah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika majlis pelepasan 50 pegawai dan anggota pasukan itu ke Yangon, Myanmar, pada pagi tadi.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Datuk Mohd Nizam Jaffar.
Terdahulu Ahmad Zahid berkata, misi tersebut merupakan bukti keprihatinan dan setia kawan Malaysia sebagai negara anggota ASEAN.
“Kita amat simpati dengan apa yang berlaku di Myanmar, untuk itu kita ambil tindakan segera menggerakkan pasukan SMART,” ujarnya.
Ditanya sama ada kerajaan akan menambah pasukan SMART ke negara itu, Ahmad Zahid berkata, ia bakal diputuskan berdasarkan keperluan.
Sementara itu, beliau akan mempertimbangkan cadangan memberikan elaun tambahan kepada pasukan yang berangkat hari ini memandangkan mereka berdepan dengan tugas mengejut sehari menjelang Hari Raya Aidilftitri.
Namun perkara itu perlu dikemukakan dan dibincang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.
“Kita ada elaun tetap yang kita telah siapkan melalui sistem sedia ada (namun) kebetulan hari raya (menjelang tiba jadi) ini saya akan pertimbangkan selepas bincang dengan Perdana Menteri,” jelasnya.
Sebagai rekod, 50 yang berangkat hari ini termasuklah 16 anggota ATM, 12 (bomba), 13 (Polis Diraja Malaysia) yang diletakkan di bawah SMART dan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: