IPOH – Treler dan pemandu yang terbabit kemalangan maut lima individu melibatkan empat kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Kluang, Johor dikesan mempunyai rekod kesalahan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hasil semakan mendapati kenderaan muatan mesin itu mempunyai empat rekod kesalahan dalam tempoh antara Mac 2017 sehingga Disember 2022.
Katanya, ia membabitkan dua kesalahan gagal mematuhi notis arah pemeriksaan berkala dan masing-masing satu kes membawa muatan secara tidak selamat serta membawa muatan menjulur melebihi badan kenderaan.
“Rekod lampau memang ada, tetapi semua kes berkenaan telah pun selesai. Kesalahan dilakukan ini lebih kepada teknikal dan juga melibatkan kesalahan biasa untuk pemandu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pemantauan dan Pemeriksaan Bas di Terminal Meru Raya, dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
Berdasarkan rekod polis, pemandu treler berusia 35 tahun yang terbabit nahas jalan raya itu dikesan mempunyai dua kesalahan lampau trafik iaitu mengabaikan isyarat lalu lintas pada tahun 2023 dan larangan memotong pada 2018.
Mengulas lanjut Aedy Fadly berkata, susulan itu JPJ telah membuka kertas siasatan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas pemilik syarikat lesen pengendali kenderaan perdagangan terbabit.
Ujar beliau, hasil siasatan juga mendapati kenderaan tersebut boleh dikenakan tindakan sitaan dan lucut hak kerana gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah gagal menyelenggara kenderaan dengan baik dan boleh guna (Seksyen 58(1)(a) APAD 2010).
“Selain itu turut dikesan kesalahan tidak memberi keutamaan kepada keselamatan pengguna jalan raya lain (Seksyen 58(1)(b) APAD 2010) serta tidak mematuhi syarat tahap perkhidmatan bagi perkhidmatan kenderaan barangan tahun 2024 (Seksyen 57(1) APAD 2010),” jelas beliau.
Ketika ditanya berkenaan dakwaan treler terbabit menggunakan tayar celup yang tidak mematuhi standard, Aedy Fadly memberitahu, perkara itu masih belum dapat dipastikan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Ada banyak faktor yang menjadi punca kepada kemalangan jalan raya, dan ia tidak semestinya berkaitan dengan penggunaan tayar celup.
“Kadang-kadang faktor yang berlaku (kemalangan) mungkin disebabkan keadaan jalan itu sendiri,” katanya lagi.
Media pada Jumaat melaporkan lima individu termasuk tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan dalam kejadian di Kilometer 58.1 Lebuh Raya PLUS di Kluang.
Nahas yang berlaku sekitar jam 11.30 malam itu turut dilaporkan menyebabkan lapan yang lain cedera.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian, tayar hadapan kanan treler dipandu lelaki berusia 35 tahun pecah dan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan. – MalaysiaGazette