BERA – Polis meminta pemilik akaun laman Facebook bernama Muhamad Harun untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran yang tular di media sosial semalam.
Pemilik akaun tersebut telah memuat naik satu hantaran di laman Facebook Bera Unite kira-kira jam 9 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, hantaran tersebut mendakwa anggota polis hanya mengambil tindakan terhadap individu Melayu.
Namun, tidak menahan penunggang motosikal berbangsa Cina yang tidak memakai topi keledar.
“Kami meminta individu berkenaan untuk segera tampil membantu siasatan.
“Dalam hantaran itu, dinyatakan bahawa anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tidak menahan dua individu berbangsa Cina yang tidak memakai topi keledar, tetapi hanya menahan dua penunggang motosikal Melayu sehingga motosikal mereka terpaksa ditolak ke balai polis.
“Dia juga mempersoalkan sama ada undang-undang ini hanya dikenakan ke atas orang Melayu serta mendakwa kejadian serupa sering berlaku di Triang,” katanya.
Zulkiflee turut meminta pemilik akaun Facebook itu untuk memberikan maklumat lanjut di IPD Bera atau mana-mana balai polis berdekatan.
Sekiranya individu tersebut gagal memberi kerjasama, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998. – MalaysiaGazette