Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) selepas selesai menunaikan Solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 31 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sambutan Hari Raya Aidilfiitri menjadi titik tolak bagi seluruh rakyat untuk terus memperbaiki diri dan mengukuhkan perpaduan sebagai sebuah masyarakat yang berakhlak, bertanggungjawab dan berjiwa besar.

Menurut Perdana Menteri, hari kemenangan itu yang diraikan hari ini bukan sekadar penamat kepada Ramadan, tetapi satu permulaan untuk setiap rakyat menjadi insan yang lebih baik dan lebih berwibawa.

“Sempena Aidilfitri Mubarak, saya ingin memohon kemaafan atas kekurangan dan kekhilafan.

“Insya-Allah, saya akan terus berusaha sebaik mungkin untuk melakukan islah dan membawa kebaikan kepada semua.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia daripada saya dan keluarga.

“Semoga kita dikurniakan keberkatan, kebahagiaan, dan kesejahteraan berpanjangan, Insya-Allah,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, awal hari ini, Anwar turut mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Sementara itu, Anwar melahirkan rasa syukur selepas bersama-sama seluruh rakyat melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Beliau menyifatkan bulan Ramadan itu sebagai madrasah ruhiyyah yang mendidik jiwa, membentuk disiplin, memperkukuh integriti dan mendidik manusia tentang kesederhanaan dan kepedulian terhadap nasib mereka yang memerlukan.

Tambahnya, keinsafan yang lahir daripada Ramadan seharusnya membangkitkan rasa tanggungjawab untuk memperjuangkan keadilan dan membela mereka yang teraniaya.

“Islam mengajar kita bahawa keadilan dan kebajikan adalah asas kepada sebuah masyarakat yang harmoni.

“Kita harus terus memupuk rasa hormat antara satu sama lain, memperkukuh hubungan antara kaum dan agama, serta menanam nilai ihsan dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

“Tanpa nilai-nilai ini, kestabilan dan keamanan yang kita harapkan tidak akan dapat dipertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here