Suasana sekitar Program Masak Bubur Lambuk dan Khatam Al Quran Peringkat PUSPEN Jelebu 2025 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Jelebu, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 MAC 2025

JELEBU – Berkumpul dan bermaaf-maafan dengan ahli keluarga di pagi Hari Raya Aidilfitri merupakan saat yang menggamit kerinduan penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu, Negeri Sembilan.

Mereka yang dirawat di sini dipanggil ‘pesakit’ atau diistilahkan sebagai klien kerana hadir secara sukarela.

Dua pesakit yang ditemui mengakui perasaan itu sukar dibendung apabila mengenang sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga di sisi kecuali rakan-rakan senasib.

Namun, mereka akur dengan keadaan ini dan menaruh harapan usaha pemulihan berjalan dengan baik demi meneruskan kehidupan masa depan.

Ahmad

Ahmad, 31, mengakui tersilap langkah kerana pengaruh rakan sebaya hingga terlibat dalam dadah.

Katanya, situasi itu menjadi punca dia kini berada di Puspen Jelebu hampir 10 bulan selepas diperintahkan oleh mahkamah untuk proses pemulihan.

“Saya alami kemurungan kerana kehilangan ibu tersayang akibat kanser ovari dan ia membuatkan saya ingin mencari ‘sesuatu’ lalu terpengaruh dengan rakan hingga terjebak dadah.

“Saya ambil dadah jenis methamphetamine dan syabu yang membuatkan saya rasa boleh hilang rasa kemurungan tapi itulah kesilapan saya kerana tersalah langkah dan pilih kawan.

“Pada awalnya, memang tidak boleh terima untuk masuk di sini namun lama-kelamaan banyak yang saya pelajari untuk muhasabah diri, menginsafi dan memperkasakan diri dengan kemahiran,” luahnya kepada MalaysiaGazette.

Suasana sekitar Program Masak Bubur Lambuk dan Khatam Al Quran Peringkat PUSPEN Jelebu 2025 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Jelebu, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 MAC 2025

Walaupun berada disebalik tirai besi, Ahmad anak keempat daripada enam beradik berkata, ahli keluarganya sangat membantu dan memberi sokongan kepada dirinya agar menjadi insan yang berguna.

“Ahli keluarga saya termasuk ayah kerap kali datang dan memberi semangat untuk pemulihan. dia selalu kata ‘awak boleh’ dan perkara itu menguatkan diri saya untuk berada dalam tempoh 24 bulan di sini.

“Kalau boleh saya nak segera sembuh supaya dapat pergi ke bazar bersama adik-beradik yang menjadi kenangan. Ditambah lagi nak raya ni, buatkan saya lagi sebak untuk bersalam-salaman di pagi hari raya,” ujarnya sayu.

Samad

Bekas pengurus kedai makan, Samad, turut mengakui tersilap langkah hingga terlibat dalam penyalahgunaan dadah, sekali gus merosakkan hidupnya.

Menurut Samad, 31, pengaruh rakan mendorongnya ingin mencuba dan akhirnya terkurung di Puspen Jelebu bagi tempoh 24 bulan.

“Saya tidak mengenali apa -apa jenis dadah hingga saya mengetahui semuanya termasuk methamphetamine dan tidak sedar sebenarnya saya adalah penagih dadah.

“Saya sudah berada di sini selama lapan bulan dan bila berada di sini saya belajar membuat kuih raya membuatkan saya rindukan kenangan berbuka puasa dan menyambut raya bersama keluarga.

“Sudah sekian lama kami tidak berkumpul bersama sejak ibu dan ayah tiada, saya amat rindu sangat semua kenangan itu terutama diwaktu kecil ditambah kami dulu membesar bersama nenek.

“Alhamdulilah walaupun saya berada di sini untuk pemulihan, adik beradik saya tetap datang memberi sokongan dan insya-Allah untuk hari raya mereka akan datang jika tiada halangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here