KUALA LUMPUR – Kontroversi berkaitan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Masjid India di sini baru-baru menyerlahkan keperluan untuk mewujudkan satu penyelesaian kekal bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Wakil Pengurusan Kuil Sri Mangala Chamundi, Bahau, Ramakrishnan Nair menggesa Hindu Sangam dan pihak berkaitan tampil segera membantu kuil-kuil yang masih tidak mempunyai dokumen sah khususnya di kawasan Jempol, Negeri Sembilan ketika ini.
Kata beliau isu masalah dokumentasi dan pemilikan tanah melibatkan kuil bukan sahaja mengancam kedudukan rumah ibadat tetapi juga berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat seperti yang terjadi baru-baru ini.
Menurutnya, insiden melibatkan kuil Dewi Patrakalimaan baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak tentang betapa seriusnya isu pemilikan tanah dan dokumen rasmi bagi kuil-kuil di seluruh negara.
“Kejadian itu jelas menunjukkan bagaimana kuil berdepan pelbagai isu, ancaman sekiranya berada di atas tanah yang bukan milik sah walaupun telah memakan masa puluhan atau ratusan tahun sekalipun.
“Apabila isu ini timbul, ia bukan sahaja mencetuskan konflik tetapi turut memberi tekanan kepada masyarakat Hindu dan mencemar nama baik agama kita, ketika itu tidak ada alasan untuk kita menuding jari atau menyalahkan mana-mana orang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu ditangani dengan serius bagi mengelakkan masalah sama berulang di kawasan lain, terutama di Jempol yang mempunyai banyak kuil kecil yang tidak didaftarkan secara rasmi atau tiada dokumen pemilikan tanah.
“Kita tidak boleh hanya menunggu sehingga masalah timbul dan menjadi isu nasional. Saya menyeru Hindu Sangam, pihak berkuasa tempatan, parti politik tempatan seperti MIC agar segera mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu ini.
“Saya telah menulis sendiri kepada Hindu Sangam dan beberapa pihak lain termasuklah parti politik baru-baru ini dan melahirkan kebimbangan berikutan kuil kecil tidak mempunyai dokumentasi, terima kasih kepada Hindu Sangam untuk respon pantas.
“Usaha perlu dimulakan dari sekarang agar kuil-kuil kita berada dalam keadaan selamat dan sah dari segi undang-undang,” tegasnya.
Ramakrishnan juga mencadangkan agar satu pasukan khas dibentuk dengan kerjasama Hindu Sangam dan pihak berkaitan seperti pengurusan kuil-kuil yang bukan sahaja akan membantu proses pendaftaran dan pemilikan tanah.
Sebaliknya juga memberi panduan serta kesedaran tentang isu undang-undang berkaitan kuil.
“Dengan adanya usaha bersama ini, kita dapat memastikan kuil-kuil kita tidak lagi menghadapi risiko perobohan atau konflik dengan pihak berkuasa pada masa hadapan. Jangan biarkan isu seperti terus menjadi parah,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Isu kuil: Tindakan ganti tanah tidak harus jadi kelaziman – Pemuda BN
Kewujudan kuil perlu dibuktikan menerusi Kanun Tanah Negara – Bersatu