SEBUIAH bangunan dalam pembinaan di Bangkok, Thailand runtuh ekoran kejadian gempa bumi di Myanmar pukul 2.20 petang tadi. - Foto: AFP

AGENSI – Kekuatan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Ritcher yang melanda Myanmar, Jumaat lalu bersamaan dengan kekuatan lebih 300 bom atom yang digabungkan, kata ahli geologis terkemuka Amerika Syarikat (AS), Jess Phoenix.

“Kekuatan yang dilepaskan oleh gempa seperti ini adalah bersamaan kira-kira 334 bom atom,” katanya kepada CNN seperti dilaporkan media antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau turut memberi amaran gegaran susulan daripada gempa itu boleh berlanjutan selama berbulan-bulan lamanya.

Ini kerana, jelasnya, ketika ini plat tektonik India terus berlanggar dengan plat Eurasia di Myanmar.

Sementara itu, Phoenix berkata, mungkin terdapat halangan dalam memahami sepenuhnya tahap kemusnahan bencana akibat gempa bumi tersebut.

Perkara itu, jelasnya, berikutan perang saudara yang masih berlanjutan di Myanmar selain gangguan komunikasi, sekali gus menyukarkan pihak antarabangsa memahami sepenuhnya impak bencana tersebut.

Ketika ini, seramai 1,700 orang dilaporkan maut di Myanmar susulan gempa bumi yang berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan, Jumaat lalu.

Gegaran akibat gempa bumi antara yang terbesar dalam tempoh satu abad di negara Asia Tenggara itu  turut dirasai di beberapa negara jiran antaranya Thailand, China dan Laos.

Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, sehingga kini, sekurang-kurangnya 12 gempa susulan berlaku sejak gempa bumi besar pertama berhampiran Sagaing, dengan magnitud antara 2.8 hingga 7.5. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here