Suspek (baju hijau) dibawa bagi mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

TASEK GELUGOR – Seorang lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak autisme dalam kejadian di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena di sini, semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Savinder Singh Jugindar Singh di Mahkamah Bukit Mertajam dekat sini bermula hari ini sehingga 3 April depan.

Perintah reman itu dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik dan 379A akta sama kerana mencuri kenderaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju-T berwarna hijau dalam keadaan bergari tiba di mahkamah diiringi pegawai serta anggota polis.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek yang juga gelandangan itu bertindak melarikan kereta jenis Honda BRV di pekarangan masjid berkenaan kira-kira jam 8 malam susulan mendapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan enjin hidup.

Suspek dikatakan melarikan kereta bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang juga autisme itu dari masjid berkenaan sebelum diberkas sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di kawasan hentian rehat Behrang kira-kira jam 3 pagi tadi.

Terdahulu, tular sepasang suami isteri mohon bantuan orang ramai mengesan kereta Honda BRV milik mereka susulan dilarikan suspek bersama anak lelaki mereka ketika keluarga itu berada di masjid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here